AM

PENCALONAN ASA 2024 DIBUKA MULAI 1 HINGGA 15 JULAI

03/07/2024 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pencalonan Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 telah dibuka bermula 1 hingga 15 Julai dengan 60 kategori dipertandingkan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau berkata ASA 2024 mempertandingkan 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat kategori media baharu merangkumi Drama Terbaik, Drama Bersiri Terbaik, Kandungan Video Terbaik dan Podcast Terbaik yang merupakan penambahan untuk kategori itu. 

"Pada tahun ini kita perkenalkan Podcast Terbaik untuk meraikan pencapaian pencipta kandungan dalam medium audio digital yang semakin popular dan ramai yang menggunakannya untuk berhubung dengan masyarakat.

"ASA 2024 mewujudkan kategori ini untuk menggalakkan lebih ramai menghasilkan kandungan podcast (audio siar) yang mempunyai mesej, perolehan yang berkualiti serta menepati adab, budaya dan tema," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat dua anugerah khas yang akan disampaikan pada malam kemuncak ASA 2024 Oktober ini iaitu Anugerah Tokoh Seri Angkasa dan Anugerah Khas Juri.

Bertemakan 'Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan', Mohamad Fauzi berkata ASA 2024 membawa makna mendalam kerana menekankan nilai, kegemilangan, keunggulan dan prestij untuk mengiktiraf dan memartabatkan industri penyiaran tanah air. 

Beliau berkata antara syarat ASA 2024 adalah kandungan audio dan audiovisual terbitan tempatan mesti disiarkan oleh organisasi penyiaran yang berlesen, penyertaan dikemukakan oleh organisasi dan bukan secara individu, kaedah penyiaran adalah secara terrestrial, satelit serta media baharu.

Selain itu, kandungan audio dan audiovisual yang dicalonkan mestilah pertama kali disiarkan menerusi saluran TV, stesen radio dan platform media baharu dalam tempoh antara 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2023. 

Beliau berkata pencalonan ASA 2024 boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi ASA 2024, atau berhubung dengan pihak urus setia Jawatankuasa Pencalonan di talian 03-89115452 atau e-mel jpc.asa2024@komunikasi.gov.my

"Pihak urus setia turut menyediakan kemudahan untuk mengemukakan pencalonan di Makmal Komputer, Aras 19, Kementerian Komunikasi", katanya. 

Beliau berkata setiap saluran TV dibenarkan mengemukakan lima pencalonan bagi Kategori TV, dua pencalonan bagi setiap Kategori Radio untuk setiap stesen radio dan dua pencalonan bagi Kategori Media Baharu.

Mohamad Fauzi berkata ASA 2024 turut melantik juri profesional sepert ahli akademik dan pemain industri yang berpengalaman untuk menilai secara telus setiap kategori.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan