AM

LIPUTAN 5G DI KAWASAN BERPENDUDUK KINI 81.7 PERATUS - TEO

03/07/2024 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk negara kini mencapai tahap 81.7 peratus, dengan siapnya 7,114 tapak 5G di seluruh negara setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata buat masa ini, pembinaan rangkaian 5G tertumpu di kawasan bandar yang mempunyai aktiviti ekonomi  tinggi, manakala peluasan ke kawasan lain termasuk luar bandar telah dimulakan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Di Kuala Lumpur peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk pada tahap (97.7 peratus), Putrajaya (97.3 peratus), Selangor (96.1 peratus), Johor (83.1 peratus), Melaka (88.6 peratus), Negeri Sembilan (77.5 peratus), Pulau Pinang (91.1 peratus) dan Perak (79.8 peratus),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) yang ingin tahu perancangan kerajaan untuk membina lebih banyak pencawang bagi tujuan meningkatkan kadar capaian Internet berkelajuan tinggi (5G) di kawasan pedalaman dengan lebih menyeluruh.

Sementara itu, Teo berkata liputan 5G di kawasan berpenduduk di Kedah pada tahap 80.1 peratus, Perlis (91.4 peratus), Pahang (65.5 peratus), Terengganu (72.7 peratus), Kelantan (66.4 peratus), Sabah (68.6 peratus), Labuan (94.4 peratus) dan Sarawak (62 peratus).

Menjawab soalan tambahan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai saluran aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sekiranya terdapat masalah liputan, Teo berkata mereka boleh membuat aduan menerusi talian WhatsApp 0162206262.

Teo berkata aduan juga boleh dibuat menerusi laman web https://www.mcmc.gov.my/ atau kaunter aduan MCMC di Bangunan Parlimen, yang membolehkan ahli Parlimen membuat aduan sekiranya terdapat masalah liputan Internet di kawasan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan