EKONOMI

CHINA MINAT TINGKAT KERJASAMA DENGAN MALAYSIA DALAM INDUSTRI HALAL

03/07/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- China berminat untuk bekerjasama dalam industri halal dengan Malaysia merangkumi pensijilan, perkhidmatan dan produk halal, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata kesungguhan itu dizahirkan Perdana Menteri China Li Qiang dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu bermula 22 Mei hingga 1 Jun lepas.

“Semasa kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Li Qiang, Timbalan Perdana Menteri telah mengambil peluang untuk memaklumkan tentang industri halal global yang bernilai US$3.1 trilion pada 2018 dan berkembang sebanyak 4.1 peratus setiap tahun serta dijangka mencapai US$5 trilion pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin tahu hasil lawatan Timbalan Perdana Menteri ke China bersempena ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata dalam lawatan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengambil peluang meneroka peluang kerjasama antara Malaysia dan China, terutamanya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kesalinghubungan selain hubungan sesama rakyat.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga telah bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama termasuklah bidang teknologi tinggi, tenaga yang boleh diperbaharui, ekonomi digital dan semikonduktor.

Secara keseluruhannya, Mohamad berkata lawatan rasmi itu berjaya mencapai matlamat untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala dan mengekalkan persefahaman sedia ada antara Malaysia dengan China. 

Menjawab pertanyaan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) berkaitan isu Laut China Selatan, Mohamad berkata Malaysia tegas mempertahankan kedaulatan negara ini serta sedia menggunakan semua platform yang ada untuk berunding dengan China yang dilaporkan menempatkan kapal perang di kawasan berkenaan. 

"Kita tidak akan berkompromi soal kedaulatan dan akan menggunakan mekanisme sedia ada untuk teruskan rundingan termasuk mengenai Kod Tata Laku (COC) menangani isu Laut China Selatan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan