AM

KERJASAMA KERAJAAN, INDUSTRI PERKUKUH KESELAMATAN SIBER NEGARA - GOBIND

03/07/2024 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Kerjasama antara kerajaan dengan pihak industri menerusi dialog, perbincangan dan perkongsian pendapat penting dalam usaha memperkukuh keselamatan dan mengawal jenayah siber di negara ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pendekatan berkenaan dapat membantu kerajaan merangka solusi serta mengukuhkan tahap keselamatan siber negara.

"Ia juga penting supaya kita dapat mendengar pandangan daripada keseluruhan (pihak) perniagaan mengenai langkah seterusnya yang boleh diambil oleh kerajaan. 

"Sebahagian besar masyarakat memerlukan perlindungan daripada penipuan dalam talian. Terdapat keperluan untuk kita mula berfikir bagaimana kita boleh melihat penipuan lepas, memahami cara ia  beroperasi, mencuba dan meramalkan apa akan mereka lakukan seterusnya dan mewujudkan undang-undang,” katanya dalam ucaptama Sidang Kemuncak Pemimpin Anti-Penipuan Tahunan Kedua, di sini hari ini.

Gobind ketika ditemui media berkata digitalisasi sangat penting untuk diadaptasi negara agar dapat bergerak maju seiring negara lain namun pada masa sama kerajaan perlu bergerak lebih cepat daripada penjenayah siber untuk mengekang kegiatan mereka.

"Transaksi digital adalah berbeza dengan cara berniaga dahulu dan ini adalah perubahan yang perlu untuk bergerak ke depan. 

"Kita perlu menyesuaikan teknologi dan terus maju," katanya.

Sementara itu, Gobind berkata kementeriannya sedang melakukan pelbagai usaha bagi membendung dan memerangi jenayah siber dalam negara termasuk membentangkan Akta Keselamatan Siber 2024 di Parlimen pada April lepas. 

Beliau berkata kementeriannya juga akan membuat pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 pada sesi parlimen ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan