DUNIA

TNI TUNGGU HASIL SIASATAN KEMATIAN WARTAWAN TV

03/07/2024 08:17 PM

JAKARTA, 3 Julai (Bernama) -- Tentera Nasional Indonesia (TNI) sedang menunggu hasil siasatan polis berhubung kematian wartawan Tribrata TV baru-baru ini.

Ketua pusat penerangan TNI, Mejar Jeneral Nugraha Gumilar, berkata TNI tidak dapat mengesahkan penglibatan anggota tentera dalam kes itu tetapi menegaskan bahawa jika terlibat, mereka akan tertakluk kepada undang-undang tentera.

"Kami sedang menunggu dapatan daripada agensi yang terlibat. Kami berharap satu penjelasan dapat dicapai tidak lama lagi," katanya, seperti yang dipetik oleh Agensi Berita Indonesia (Antara) pada Rabu.

Menurut Antara, wartawan Tribrata TV Rico Sempurna Pasaribu terbunuh dalam kebakaran di rumahnya di Kabanjahe, daerah Karo, Sumatera Utara, pada 27 Jun.

Kebakaran itu yang turut meragut nyawa isteri, anak dan cucunya, disyaki berkaitan dengan laporan beritanya mengenai rangkaian perjudian dalam talian.

Majlis Akhbar pada Selasa menggesa Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo supaya menubuhkan pasukan tidak berat sebelah untuk menyiasat kejadian itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan