AM

BANCI PERTANIAN 2024: KUKUH DATA DEMI KELESTARIAN SEKTOR PERTANIAN NEGARA - FADILLAH

04/07/2024 02:21 PM

SERDANG, 4 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 merupakan agenda bagi pengukuhan sistem statistik pertanian negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata melalui banci itu kerajaan dapat mewujudkan kerangka data pertanian yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam ekosistem pertanian.

"Melalui Banci Pertanian 2024, negara akan mendapat manfaat daripada pembangunan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu yang merangkumi data pertanian di peringkat huluan dan hiliran dan menggabung jalinkan data banci dengan data pentadbiran daripada pelbagai agensi sehingga ke peringkat negeri dan daerah," katanya

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Banci Pertanian 2024, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sementara itu Fadillah yang juga Pengerusi Majlis Statistik Data Negara berkata Malaysia sedang berusaha mengukuhkan Sistem Statistik Negara bagi mendepani cabaran masa hadapan.

"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memenuhi keperluan statistik dan indikator di peringkat nasional, negeri dan daerah bagi memperkasa keupayaan membuat keputusan berasaskan data," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata pelaksanaan Banci Pertanian 2024 adalah sejajar dengan resolusi Food and Agriculture Organisation (FAO) yang mengesyorkan agar semua negara melaksanakannya dengan kekerapan sekali dalam tempoh 10 tahun mulai 2016 hingga 2025 berpandukan manual World Programme for the Census of Agriculture.

"Banci Pertanian kali ini akan menfokuskan empat dimensi keterjaminan makanan seperti saranan FAO iaitu ketersediaan, akses, penggunaan dan kestabilan dan kemampanan," katanya.

Beliau berkata ia seiring dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030)

Fadillah berkata Banci Pertanian 2024 akan menghasilkan baseline baharu yang menyediakan statistik yang tepat masa dan reliable untuk perancangan sektor pertanian negara.

Banci kali ini meliputi empat subsektor pertanian iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, perhutanan dan pembalakan melibatkan isi rumah pertanian dan pertubuhan atau syarikat perniagaan.

Fadillah berkata operasi Banci Pertanian pada kali ini akan meliputi lebih 20,000 pertubuhan berdaftar, institusi, koperasi serta persatuan, dan turut disasarkan juga sekurang-kurangnya 1.3 juta tempat kediaman pengusaha dan pemilik pertanian.

Banci Pertanian 2024 diterajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan tema "Banci Pertanian 2024, Kunci Kemajuan Pertanian" merupakan banci keempat dilaksanakan di Malaysia selepas kali terakhir pada 2005.

Objektif banci adalah untuk menjadikan statistik pertanian sebagai kunci pembangunan, perkembangan dan kemajuan sektor pertanian menjelang 2030.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan