AM

KPKM JANGKA GUNA VARIETI PADI TAHAN CUACA MULAI TAHUN DEPAN

04/07/2024 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Varieti padi baharu negara yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan cuaca tidak menentu seperti kemarau dan banjir dijangka digunakan pada 2025 dan 2026 sebagai langkah keterjaminan makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata ketika ini kementerian menerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang melaksanakan kajian terhadap varieti padi berkenaan.

“MARDI sudah mula menjalankan kajian padi varieti baharu itu, malah sudah ada plot kajian (kajian di lapangan) dilakukan dan kita menjangkakan varieti padi baharu ini dapat digunakan pada 2025 dan 2026,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung pelan tambahan kepada strategi sedia ada dalam menghadapi risiko perubahan cuaca terhadap sektor pertanian negara.

Menjawab soalan asal Hasni berhubung persediaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menghadapi risiko ketidaktentuan cuaca terhadap pertanian, Arthur berkata pihaknya telah memohon Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) Fasa 2 dalam masa terdekat di kawasan pertanian yang terkesan dengan cuaca panas dan kering.

Beliau berkata usaha itu sebahagian langkah segera KPKM bagi menghadapi kesan perubahan iklim selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

“Sebagai contoh, bagi menangani isu kemarau di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan, OPA kali pertama dijalankan dari 21 hingga 23 Jun lepas. Berikutan daripada operasi ini, hujan sederhana lebat telah direkodkan pada 21 Jun di kawasan sasaran iaitu di Gua Musang dan Pasir Puteh,” katanya.

Selain itu beliau berkata KPKM turut melaksanakan sistem penuaian air hujan dan pencarian sumber air bawah tanah melalui sistem telaga tiub bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air semasa musim kemarau dan menggunakan sungkupan untuk mengekalkan kelembapan tanaman.

Arthur berkata 251 telaga tiub dan 246 pam bergerak telah disediakan KPKM bagi menampung keperluan petani dan penternak untuk kawasan yang terjejas bencana seperti banjir dan kemarau.

“Selain itu, kita melaksanakan penyelenggaraan sistem pengairan dan saliran pertanian secara berkala setiap tahun bagi membolehkan infrastruktur berfungsi dengan baik dengan RM80 juta disediakan bagi tahun ini untuk kerja menyelenggara dalam kawasan jelapang dan luar jelapang.

Pada tahun ini katanya KPKM juga telah memperuntukkan RM50 juta melalui Tabung Bencana Pertanian dan RM12 juta bagi Tabung Bencana Tanaman Padi untuk membantu warga agromakanan yang terkesan akibat bencana banjir.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan