AM

PENGUSAHA PESTA RIA TANPA PERMIT DIKOMPAUN RM3,000

04/07/2024 02:58 PM

KOTA KINABALU, 4 Julai (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan kompaun RM3,000 ke atas pengusaha pesta ria di Pekan Inanam di sini kerana menjalankan aktiviti hiburan awam tanpa lesen pada Isnin lepas.

DBKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan satu notis telah dikeluarkan kepada pengusaha tersebut untuk mengalihkan struktur dan semua logistik sebelum 29 Jun lepas.

"Bagaimanapun hasil pemeriksaan susulan DBKK pada 1 Julai mendapati tiada tindakan diambil oleh pengusaha dan pesta ria berkenaan masih beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pemeriksaan juga mendapati pengusaha berkenaan gagal mempamerkan permit pengoperasian yang sah.

Menurut DBKK, kompaun di bawah Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958 telah dikeluarkan kerana menjalankan aktiviti hiburan awam tanpa lesen.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan