AM

FILIPINA ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA MALAYSIA BANTU CAPAI KEAMANAN - MOHAMAD

04/07/2024 03:59 PM

REMBAU, 4 Julai (Bernama) -- Kerajaan Filipina menzahirkan penghargaan kepada Malaysia kerana turut membantu dalam rundingan dengan penduduk di selatan negara itu untuk mencapai keamanan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu dinyatakan sendiri Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr ketika beliau mengadakan lawatan ke Filipina, 1 Julai lepas.

“Dua tiga kali dalam perbualan beliau dengan saya, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih pada Malaysia kerana kita bersusah payah menyatukan dan mengadakan rundingan sehingga tercapai apa yang mereka peroleh hari ini, terutama di Kepulauan Mindanao.

“Ini adalah hasil kerjasama dan bantuan Malaysia yang mengurus gencatan senjata, serta gesaan supaya semua pihak supaya berdamai, dan mereka (Kepulauan Mindanao) yang dahulunya mahukan autonomi negeri sendiri, akan mengadakan pilihan raya pada Mei tahun depan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau yang dihadiri lebih 100 ahli di sini hari ini.

Beliau berkata Presiden negara itu turut memohon Malaysia untuk melihat Kepulauan Mindanao sebagai suatu kawasan pertumbuhan ekonomi baharu, sekali gus yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara.

Mohamad mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Filipina pada 1 Julai lepas, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik berkenaan yang telah terjalin selama lebih enam dekad.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan