AM

KAFE MAROOKHA SEDIAKAN RUANG BERSANTAI KHUSUS UNTUK WANITA

04/07/2024 04:02 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 4 Julai  (Bernama) -- Menghirup secangkir kopi di kafe sambil membaca buku atau mendengar pelbagai alunan genre muzik bagaikan sudah menjadi gaya hidup masyarakat hari ini, tetapi bagaimana pula waktu santai itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti yoga, muay thai mahupun mendandan diri.

Inilah kelainan yang cuba ditonjolkan oleh kafe Marookha yang terletak di Taman Tun Dr Ismail sejak beroperasi pada tahun 2021, sehingga tempat ini diibaratkan sebagai ‘syurga’ buat kaum wanita. 

Ia menjadi ruang zon selamat bagi mereka beraktiviti sambil bersantai apabila keseluruhan ruang yang disediakan di kafe berkenaan menjadi kawasan larangan untuk ‘lelaki’  bagi  membolehkan pelanggan wanita terutama yang berhijab melakukan aktiviti dengan selesa tanpa rasa segan.

Hiasan dalaman berinspirasikan negara Maghribi (Morocco) dengan berlatar warna terang menambah seri dan mendamaikan, dengan sajian menu tradisional Palestin yang menjadi keunikan di sini berbanding kafe lain di ibu kota.

Ruang bangunan kedai satu tingkat itu digunakan sepenuhnya untuk studio kecergasan, salon kuku, ruang anak-anak bermain sementara menanti ibunya menikmati kopi serta melakukan pelbagai aktiviti yang  disediakan di bawah satu bumbung.

Berkongsi konsep kafe tersebut, pemiliknya Zara Riza berkata, idea tersebut tercetus berdasarkan pengalamannya dan golongan hawa lain khususnya yang berhijab apabila berhadapan kesukaran melakukan pelbagai aktiviti dengan bebas di tempat awam. 

“Di negara Timur Tengah, wanita mempunyai ruang tersendiri untuk melakukan pelbagai aktiviti (bagaimanapun), wanita Muslim di negara ini sering berhadapan cabaran mencari tempat untuk mereka boleh memilih tidak memakai tudung dan melakukan aktiviti secara bebas. 

“Tetapi, ini yang kami sediakan di kafe Marookha apabila golongan hawa bebas berinteraksi, tiada halangan mengenakan apa sahaja pakaian yang selesa kerana dikelilingi wanita serta bebas bersenam di studio kecergasan. Mereka boleh melakukan aktiviti lain tanpa mengorbankan tuntutan agama,” katanya kepada Bernama. 

Biarpun begitu, kafe  tersebut tidaklah hanya terbatas kepada mereka yang berhijab semata-mata tetapi juga terbuka ruangnya kepada semua kaum wanita.

Menurut Zara, anak kelahiran kota metropolitan Kuala Lumpur, pada awal pembukaan Marookha, penerimaan pelanggan agak janggal kerana kafe ini khusus untuk golongan wanita sahaja, namun, kafe yang dianggap ‘pelik’ ini semakin hari semakin diterima ramai.

Malah, tinjauan Bernama di ruangan komen kafe ini juga mendapati, ramai kaum hawa termasuk yang bukan berhijab mengharapkan agar konsep kafe berkenaan turut disesuaikan di negeri mereka kerana keselesaan melakukan pelbagai aktiviti dengan selamat tanpa risaukan lirikan mata kaum lelaki. 

“Susah nak cari pakaian sukan yang betul-betul menutup aurat (bagi muslimah) dengan sebaiknya jika bersenam di luar atau gimnasium, nak ambil jurulatih peribadi pula mahal. Jadi, saya rasa, inilah antara usaha boleh dilakukan untuk wanita rasa lebih selesa melakukan pelbagai aktiviti tanpa rasa terganggu.

“Pada awalnya, sukar juga konsep ini tetapi lama-kelamaan, alhamdulillah, ia semakin diterima dan kami juga ada pelanggan tetap. Kami juga sangat tegas dengan garis panduan serta beberapa peraturan seperti tidak membenarkan mengambil gambar bagi memastikan privasi pengunjung,” katanya. 

Menurut Zara, selain menikmati pelbagai keenakan juadah, beraneka kopi serta melakukan aktiviti memanjakan diri dan kecergasan, pihaknya juga menganjurkan ceramah berkaitan isu peribadi wanita sekali gus mampu mengeratkan hubungan serta mencipta sistem sokongan sesama wanita. 

"Walaupun ada yang tidak mengenali antara satu sama lain,  pengunjung di sini juga biasanya selesa menyapa satu sama lain, situasi dan tahap keselesaan memang berbeza apabila hanya dikelilingi wanita,” kongsinya, yang juga berhasrat membuka cawangan pada masa akan datang. 

Berkahwin dengan warga Palestin, Zara berkata, dia mempelajari resipi hidangan tradisional negara tersebut daripada ibu mentuanya dan pengunjung disyorkan menikmati menu popular, maqluba. 

Hidangan yang berasaskan ayam kukus, bawang karamel, terung goreng serta kentang goreng dimasak bersama beras dan stok ayam berempah. Ia disertakan dengan salad dan yogurt segar serta set ‘mama Marookha breakfast’. 

“Kami juga ada menu Palestin yang jarang dijual di tempat lain, antaranya arayes kambing (roti pita dengan daging berempah) dan falafel (campuran kekacang). Untuk kaum lelaki, mereka boleh menikmati menu resipi istimewa ini menerusi pesanan dalam aplikasi GrabFood,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan