JENAYAH & MAHKAMAH

WARGA EMAS RUGI LEBIH RM200,000 AKIBAT PELABURAN TIDAK WUJUD

04/07/2024 06:21 PM

KUANTAN, 4 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud dalam talian pada Mei lepas. 

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata mangsa, 66 tahun, dilaporkan telah tertarik dengan satu iklan pelaburan saham melalui laman sosial atas nama Pimco Malaysia Station W68.

"Mangsa yang juga pemilik kebun durian di Bentong itu telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi media sosial dan telah membuat pelaburan sebanyak RM10,000 ke atas akaun yang diberikan pada 21 Mei selepas dijanjikan keuntungan sebanyak 100 peratus dari jumlah pelaburan.

"Susulan itu, suspek telah mengatakan bahawa mangsa memperolehi keuntungan RM500,000 dan dikehendaki membuat tambahan pelaburan bagi menebus keuntungan yang dijanjikan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Noor Hisam berkata mangsa terus diperdaya membuat pelaburan tambahan sehingga akhirnya melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM204,706 melalui enam transaksi dan kali terakhir dibuat adalah semalam.

Beliau berkata mangsa mula sedar ditipu setelah wang pelaburan daripada simpanan perniagaannya tidak mendapat sebarang pulangan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan