AM

13 DARIPADA 262 PROJEK IMPAK TINGGI DISENARAI RS-1 TELAH DILAKSANAKAN - AMIRUDIN

04/07/2024 06:34 PM

SHAH ALAM, 4 Julai (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan bahawa 13 daripada keseluruhan 262 projek berimpak tinggi disenaraikan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berada pada peringkat pelaksanaan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata dalam masa sama, dua lagi projek sudah berada pada peringkat reka bentuk dan perancangan, manakala lima projek dalam fasa konsep dan permulaan. 

“… (kesemua) 20 projek berimpak tinggi  ini merentas keempat-empat teras, iaitu tujuh untuk pengukuhan ekonomi, tiga bagi meningkatkan kesejahteraan dan keterangkuman sosial, lima bagi memacu kelestarian, dan lima bagi mengukuhkan tadbir urus yang pintar dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Amirudin berkata antara projek itu ialah Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), Wilayah Pembangunan Bersepadu Di Selangor Selatan (IDRISS), Selangor Aero Park (SAP) dan pelabuhan ketiga Carey Selangor. 

Beliau berkata selepas penilaian semula RS-1, terdapat peningkatan jumlah Projek, Program, Inisiatif (PPI) daripada 262 kepada 282, hasil penjajaran kepada pelan dan dasar-dasar kerajaan Persekutuan dan negeri seperti Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga serta 5 Tekad 5 Tahun.

“Setakat tahun 2023, daripada 282 PPI, 18 peratus atau 52 PPI telah selesai pelaksanaannya dan 82 peratus (230 PPI) sedang dijalankan serta dijangka akan terus berjalan sehingga tahun 2025 serta selepas tempoh itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan