AM

JENDELA 1: 39 DARIPADA 66 MENARA TELEKOMUNIKASI DI TERENGGANU TELAH BEROPERASI

04/07/2024 07:08 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Sebanyak 39 daripada keseluruhan 66 menara telekomunikasi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 1 di Terengganu telah mula beroperasi.

Pengurus Program USP Celcomdigi Mohd Zhariff Md Raus berkata pihaknya selaku pembekal jaringan pada Bahagian 2 JENDELA 1 menggunakan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN) sebagai tapak peralatan untuk membekalkan empat liputan iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

“Di Terengganu, kami diamanahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengoperasikan 66 menara termasuk 46 menara JENDELA 1 yang dibina Theta Telecoms, anak syarikat kepada Theta Edge Berhad dan 20 daripada FGV Prodata Systems Sdn Bhd secepat mungkin.

“Daripada kesemua menara itu, 39 daripadanya telah beroperasi dan bakinya bergantung kepada medium transmisi yang digunakan sebab ada yang guna gelombang mikro yang tidak terlalu rumit untuk dioperasikan, manakala yang guna gentian fiber optik memerlukan lebih masa sebab perlukan kelulusan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan,” katanya sambil menambah sebahagian baki menara dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini dan tahun hadapan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pemuktamadan Penyerahan 46 Menara Telekomunikasi JENDELA Fasa-1 negeri Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun dibina di kawasan terpencil, pihaknya tidak menjangkakan sebarang masalah capaian memandangkan menara berkenaan dibina di atas bukit dengan jarak liputan di antara 1.5 kilometer (km) hingga 3 km.

“Namun, bagi menara yang dibina di kawasan lembah misalnya, capaian rangkaian mungkin akan lebih pendek bergantung kepada geografi di sekeliling menara,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata pembinaan 46 menara oleh syarikatnya dalam Bahagian 1 JENDELA 1 bermula Februari 2022 hingga tahun lepas itu, temasuk sebuah menara di Pulau Tenggol, Dungun yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang liputan telekomunikasi sama sekali. 

“Disebabkan tiada liputan langsung, jadi tidak berlaku sebarang aktiviti pelancongan walaupun pulau itu adalah tempat yang bagus untuk selam skuba. Kami terima banyak aduan mengenai kesukaran sekiranya ada kecemasan dan payah untuk mereka buat hantaran di media sosial,” katanya.

Beliau berkata kesemua menara tersebut dijadualkan beroperasi dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas kerja pembekalan liputan telekomunikasi dijalankan syarikat Celcomdigi.

“Menara pertama yang beroperasi adalah di Kampung Tok Dor di Besut iaitu pada 21 Sept 2022,” katanya.

Beliau berkata menerusi penyediaan kemudahan itu, akan merancakkan ekonomi penduduk setempat dengan memberikan peluang untuk mereka memasarkan produk dan perkhidmatan pelancongan secara dalam talian, termasuk memudahkan aktiviti pendidikan pelajar di kawasan terlibat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan