EKONOMI

MESYUARAT MEJA BULAT MENTERI ASEAN-CHINA SEBULAT SUARA LULUSKAN KONSENSUS KL

04/07/2024 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2024 sebulat suara meluluskan Konsensus Kuala Lumpur pagi ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Konsensus KL, yang dihasilkan melalui proses persediaan yang dipacu oleh negara anggota, merujuk kepada satu kenyataan bagi rantau ini untuk menyokong penyetempatan matlamat pembangunan mampan (SDG) dan memperkukuhkan Agenda Perbandaran Baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk masa depan perbandaran yang mampan, saksama dan makmur.

Ia bertujuan untuk mempromosikan kemajuan yang lebih baik ke arah kemampanan melalui strategi inovatif yang disasarkan untuk memajukan dan membina masa depan mampan demi kesejahteraan penduduk, memandangkan pertumbuhan pesat dan urbanisasi di negara-negara ASEAN dan China.

Nga berkata konsensus tersebut menumpukan kepada tiga aspek utama dalam membina masa depan yang mampan untuk ASEAN dan China.

"Aspek pertama ialah kami memberi tumpuan kepada memperkukuhkan rangka kerja untuk bekerjasama dalam perumahan dan pembangunan bandar, yang kedua ialah pada memajukan teknologi, inovasi, dan pembinaan hijau bagi kemampanan.

"Dan yang ketiga, (kami memberi tumpuan kepada) kecekapan dan membangunkan bandar yang berdaya tahan terhadap iklim dengan mempercepatkan tindakan iklim tempatan dan serantau," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nga berkata berdasarkan tiga aspek utama tersebut, ACMROCH 2024 mengenal pasti beberapa bidang keutamaan yang penting dan tindakan kerjasama.

Beliau terutamanya menyatakan bahawa negara-negara anggota ASEAN dan China akan mengiktiraf potensi teknologi dalam memacu inovasi untuk mempercepat agenda membangunkan perbandaran mampan, yang telah diterima pakai oleh SDG PBB 2030 untuk mencapai karbon neutral.

"Kami akan mempercepat usaha ke arah pelaksanaan SDG dan adaptasi Agenda Perbandaran Baharu melalui tadbir urus pelbagai peringkat, penglibatan daripada pelbagai pihak berkepentingan dan kerjasama serantau," katanya.

Beliau menambah bahawa Malaysia mengalu-alukan penubuhan platform Agenda Perbandaran Baharu untuk ASEAN dan rantau Asia Pasifik bagi membantu negara anggota menyediakan dan menghantar laporan mereka mengenai pelaksanaan agenda tersebut tepat pada masanya.

Nga berkata KPKT akan terus mengadakan libat urus dengan anggota-anggota ASEAN dan China untuk meneruskan Konsensus KL apabila Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Sementara itu, beliau juga mendedahkan bahawa semasa mesyuarat dua hala pagi ini, pegawai-pegawai China menyokong pencalonan Malaysia untuk jawatan Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026-2029 di Nairobi, Kenya tahun depan.

"Kami telah mendapat sokongan dari China dan kami akan terus mendapat sokongan daripada negara-negara lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, KPKT juga akan menjadi tuan rumah Persidangan Menteri Asia Pasifik mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar (APMCHUD) di Pulau Pinang tahun depan yang membabitkan penyertaan daripada 59 negara.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan