EKONOMI

PASARAN MODAL PERLU PERLUAS PEMBANGUNAN BAKAT UNTUK SOKONG PENGEMBANGAN INDUSTRI - LIM

05/07/2024 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Pasaran modal Malaysia perlu mewujudkan pangkalan pengetahuan menerusi pembangunan bakat untuk menyokong pengembangan industri, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata pembangunan kemahiran dan kapasiti adalah penting bagi membina asas kukuh dan memperoleh keupayaan untuk mengubah pengetahuan kepada pertumbuhan.

"Pembelajaran yang berterusan adalah penting untuk kejayaan dalam pasaran modal yang sentiasa berkembang. Golongan profesional memerlukan latihan semula dan menambah kemahiran sepanjang perjalanan ini agar seiring dengan permintaan industri.

"Oleh itu, proaktif dalam memburu peluang pembelajaran dan sentiasa kemas kini dengan trend pasaran, perubahan kawal selia dan teknologi pesat membangun memastikan profesional membuat keputusan yang berpengetahuan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis graduasi sulung program pensijilan Profesional Pasaran Modal Bertauliah (CCMP) - Urus Niaga CCMP dalam Derivatif dan Pematuhan CCMP di sini hari ini.

Beliau berkata program CCMP daripada Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) merupakan kursus komprehensif untuk memastikan profesional pasaran modal memperoleh kecekapan tinggi.

 Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIDC Tengku Zarina Tengku Chik berkata majlis graduasi yang julung kali diadakan itu melibatkan 248 profesional daripada 43 syarikat.

"Baru-baru ini kami melancarkan siri pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) SIDC bagi program CCMP yang bermula Ogos ini.

“Tahun depan, kita akan mempunyai graduan daripada tiga pengkhususan. Pasaran sentiasa aktif dan akan terdapat permintaan bagi pengkhususan dan kami akan menelitinya," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Tengku Zarina berkata sambutan yang diterima daripada program siri SRI amat memberangsangkan dan akan merangsangkan lagi pasaran modal negara pada masa depan.

CCMP adalah inisiatif pensijilan pembinaan kemahiran utama SIDC, disokong oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal.

 Ia dibangunkan khas untuk pasaran modal bagi memenuhi permintaan dan hal rumit yang berkembang dalam pasaran modal tetapi dihasilkan untuk manfaat yang merentas industri, perniagaan dan wilayah.

Perkembangan program pensijilan CCMP bermula pada 2022 dengan siri derivatif bagi menyokong aspirasi Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia untuk mengembangkan pasaran derivatif. 

SIDC adalah cabang pembinaan kapasiti SC yang ditubuhkan pada 1994 dan diperbadankan pada 2007.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan