SUKAN

PIALA FA: LALUAN CUKUP MENCABAR TETAPI BUKAN MUSTAHIL - KIM SWEE

04/07/2024 11:13 PM

KOTA KINABALU, 4 Julai (Bernama) -- Sabah FC tekad untuk bangkit daripada ketinggalan empat jaringan apabila melayan Terengganu FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA  di Stadium Likas di sini Sabtu ini.

Meskipun berdepan cabaran getir dan tugas berat namun ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata tidak mustahil untuk pasukan itu mara ke separuh akhir apabila pemain fokus dan mengikut percaturan dirancang.

 Beliau berkata perkara utama yang perlu dilakukan skuad Sang Badak itu adalah mengelak daripada dibolosi pada awal perlawanan itu dan menembusi benteng pertahanan Terengganu FC untuk mendapatkan gol awal bagi meningkatkan semangat juang pemain.

“Boleh dikatakan satu laluan yang cukup mencabar tetapi tidak mustahil. Apa yang penting kita tahu semua pemain ingin membuktikan apa yang berlaku di Terengganu  sebelum ini adalah perkara yang amat sukar dan pahit diterima.

“Namun kita tetap terima dan saya pasti semua pemain mempunyai semangat kental untuk bermain lebih baik di Stadium Likas sekali gus kekal mencuba untuk memastikan kita dapat mempengaruhi keputusan untuk berpihak kepada Sabah FC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lepas, Terengganu FC menewaskan Sabah FC 4-0 pada suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Going Badak, Kuala Terengganu.

Kim  Swee berkata pemain utama termasuk penyerang Miguel Cifuentes dan pertahanan Gabriel Peres masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan namun beliau masih mempunyai masa untuk menilai pemain yang akan mengisi kesebelasan utama nanti.

Katanya, beliau idak banyak melakukan perubahan posisi pemain berbanding perlawanan sebelum ini namun pendekatan kali ini adalah berlainan.

“Namun sesiapa sahaja bakal diturunkan nanti perlu menunjukkan komitmen serta semangat juang yang tinggi apa lagi beraksi di hadapan penonton di Stadium Likas.

“Kita pastikan Sabah FC harus mendapatkan keputusan yang positif Sabtu ini sekali gus mengharapkan agar semua pemain dapat memberikan kerjasama baik dalam perlawanan ini nanti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan