EKONOMI

MAHB PERLU RAKAN KONGSI BERKEPAKARAN UNTUK LAKUKAN TRANSFORMASI TERHADAP LAPANGAN TERBANG NEGARA

05/07/2024 10:07 AM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) memerlukan rakan kongsi yang mempunyai kewangan kukuh dan kepakaran untuk mentransformasikan lapangan terbang negara, kata Felo di Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan.

Justeru, beliau berkata pemegang saham utama MAHB iaitu Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menawarkan pengambilalihan pegangan saham kepada syarikat-syarikat pelabur yang berminat. 

"Tawaran (pengambilalihan saham) ini telah diberikan oleh KWSP dan Khazanah kepada banyak syarikat pelaburan lain tetapi hanya Global Infrastructure Partners (GIP) sahaja menerimanya...jika GIP ditolak maka MAHB mempunyai kekangan untuk menjadi lebih baik kerana kita memerlukan kepakaran dan kewangan dimiliki GIP. 

“Adakah kita mahu melihat KLIA jauh ketinggalan dengan lapangan terbang seperti Changi Airport (di Singapura) ataupun lapangan terbang di Thailand kerana kedua-dua lapangan terbang ini melabur dengan banyak, mereka ada wang dan ada pelabur-pelabur di belakangnya (membantu),” katanya pada program Ruang Bicara bertajuk ‘MAHB Ke Arah Lebih Gemilang’ terbitan Bernama TV pada Rabu. 

Azmi berkata usaha bersama GIP untuk mentransformasi lapangan terbang negara itu tidak seharusnya dipolitikkan.

Penambahbaikan atau transformasi seluruh lapangan terbang Malaysia boleh direalisasikan menerusi tawaran berkenaan kerana transformasi lapangan terbang meibatkan kos perbelanjaan tinggi dan GIP mempunyai kepakaran tersendiri dan sumber kewangan yang kukuh bagi tujuan tersebut. 

Pada 15 Mei lepas, Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya (Konsortium) mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium berkenaan pada harga tawaran sebanyak RM11 bagi setiap saham bersamaan dengan RM18.4 billion.

Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd (UEMG) dan KWSP.

Pemegang saham Konsortium berkenaan juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana diuruskan oleh GIP, antara pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Apabila urus niaga diterajui Konsortium tersebut selesai sepenuhnya, Khazanah dan KWSP akan meningkatkan pemilikannya secara kolektif dalam MAHB sebanyak 70 peratus manakala ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus. 

MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLports (lapangan terbang pelepasan dan pendaratan singkat) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul di Turkiye.

GIP mempunyai pengalaman selama beberapa dekad dalam menguruskan dan menjalankan operasi lapangan terbang menerusi pelaburannya di Lapangan Terbang Sydney, Lapangan Terbang London Gatwick, Lapangan Terbang Edinburgh, Signature Aviation dan sebelum ini, Lapangan Terbang London City.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan