AM

ALUNAN NOBAT PERAK IRINGI ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17

05/07/2024 10:50 AM

Oleh Syamsiah Sahat

KUALA KANGSAR, 5 Julai (Bernama) -- Alunan muzik Nobat Diraja Perak akan berkumandang di Balairung Seri, Istana Negara pada 20 Julai ini, bagi mengiringi istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Ketua Nobat Diraja Perak Abdul Aziz Yahya berkata lebih istimewa, Nobat Diraja Perak itu juga pernah dimainkan semasa perkahwinan Sultan Ibrahim dengan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Istana Iskandariah, di sini pada 22 Sept 1982.

Beliau berkata pihaknya menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim kerana membawa kumpulan nobat berkenaan ke Istana Negara pada istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda dengan perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Selaku ketua, Abdul Aziz yang diberi gelaran Toh Setia Guna berkata Nobat Diraja Perak tidak dibenarkan merentas sempadan negeri Perak Darul Ridzuan namun untuk pertabalan kali ini ia dapat dilakukan dengan perkenan Sultan Nazrin.

"Kami menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Nazrin yang telah memberi perkenaan agar nobat ini dibawa ke Kuala Lumpur (Istana Negara),” katanya ketika ditemui Bernama di Istana Iskandariah di sini, baru-baru ini. 

Pada 2 Julai, Bernama menerusi temu bual bersama Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini melaporkan bahawa permohonan perkenan untuk membawa Nobat Diraja Perak ke Istana Negara sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 amat istimewa dan berlangsung dengan penuh santun. 

Azuan Effendy berkata Sultan Ibrahim sendiri menulis warkah kepada Sultan Nazrin untuk menggunakan Nobat Diraja Perak dan ia dipersembahkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

Abdul Aziz yang telah 58 tahun bersama Nobat Diraja Perak berkata kumpulannya sebanyak tujuh orang menjalani latihan tiga kali seminggu bagi memastikan kesempurnaan pada Istiadat Pertabalan nanti dan akan memainkan tiga lagu iaitu Raja Berangkat (tiba), Nobat Tabal (pertabalan) dan Raja Berangkat (pulang).

“Lagu ini tidak pernah diubah sejak dahulu. Ia sama sahaja setiap kali dibunyikan pada istiadat pertabalan Raja di Perak, iaitu semasa Raja berangkat, semasa ditabalkan dan semasa Raja berangkat pulang,” katanya.

Menurut Abdul Aziz pada istiadat itu, sebagai ketua beliau berperanan memberi arahan kepada enam ahli kumpulan lain terdiri daripada dua peniup serunai, manakala masing-masing seorang yang akan meniup nafiri, bermain gendang nobat, gendang nengkara serta gendang penengkah.

Beliau berkata pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 nanti, kumpulan Nobat Diraja Perak akan memakai pakaian seragam rasmi berwarna biru.

Abdul Aziz berkata menurut adat istiadat negeri Perak, tiada Sultan yang boleh dianggap berdaulat sehingga ditabal dengan bunyian Nobat dan untuk Nobat Diraja Perak ia hanya boleh dimainkan oleh ahli keluarga orang Kalur. 

Beliau berkata nobat juga dimainkan ketika istiadat Sultan Perak menganugerahkan gelaran kepada orang awam, semasa menyambut Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. 

Selain itu, Nobat Diraja Perak dibunyikan untuk upacara atau istiadat berkaitan dengan peribadi Sultan Perak, semasa pertabalan Sultan Perak dan Raja Permaisuri, ketika Tabal Pusaka, Bersiram Tabal dan Hari Meletak (memulakan) kerja untuk menyambut ulang tahun keputeraan Sultan Perak.

Perkataan nobat berasal dari Parsi yang menggunakan perkataan ‘naubat’ bermakna sembilan jenis dan ia merupakan ‘pancaragam’ Diraja yang dimainkan sejak zaman-berzaman di negeri-negeri Melayu bagi Istiadat Pertabalan Raja-raja Melayu.

Negeri-negeri Melayu yang mempunyai nobat ialah Perak, Kedah, Terengganu dan Selangor.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan