JENAYAH & MAHKAMAH

IMIGRESEN HANTAR 63 PENDATANG TANPA IZIN PULANG KE NEGARA ASAL

05/07/2024 12:32 PM

IPOH, 5 Julai (Bernama) -- Seramai 63 pendatang tanpa izin dari pelbagai negara yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing semalam.

Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 42 lelaki dan 21 wanita berumur 18 hingga 50 tahun dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar pulang, selepas mereka selesai menjalani hukuman denda dan penjara.

Beliau berkata kesemua mereka sebelum ini telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta diputuskan untuk dipindahkan ke negara asal di bawah akta dan peraturan yang sama. 

“Mereka juga telah disenaraihitamkan bagi mencegah daripada memasuki semula ke negara ini," katanya dalam kenyataan di sini. 

Meor Hezbullah berkata program penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membenteras pendatang tanpa izin yang dijalankan JIM Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan