JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA RAKAN KARIB DALANG SINDIKET JUAL GANJA GUNA TELEGRAM DITAHAN - POLIS

05/07/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Polis menahan tiga rakan karib kerana dipercayai mendalangi satu sindiket pembungkusan dan pengedaran ganja dengan mengumpul pelanggan melalui aplikasi Telegram, Isnin lepas. 

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun itu ditahan dalam dua serbuan antara 2.20 petang hingga 5.50 petang di kawasan Publika dan sekitar kawasan Wisma Cosway, Jalan Raja Chulan di sini.

Beliau berkata sindiket yang beroperasi sejak empat bulan lepas itu menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah di sekitar Lembah Klang tanpa perlu bersemuka selepas mengumpul pesanan pelanggan melalui Telegram. 

Hasil soal siasat ke atas semua suspek membawa pihak polis ke sebuah premis di Wisma Cosway dan merampas dadah jenis ganja berbentuk 380 ketulan mampat seberat 23.322 kilogram.

“Sebuah kotak polisterin warna putih berisi satu plastik lutsinar berisi leraian dedaun kering seberat 0.414 kilogram (kg) dan tiga plastik lutsinar berisi bunga ganja dengan keseluruhan nilai seberat 0.65 kg turut dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini. 

Beliau berkata pada hari sama pihaknya turut melakukan serbuan di kawasan parking Wisma Cosway dan menyita sebuah kereta masing-masing jenis Mercedes Benz dan Nissan Almera dipercayai milik suspek. 

“Polis turut menyerbu sebuah kondominium mewah di Petaling Jaya yang dipercayai didiami kesemua suspek, namun hasil pemeriksaan tidak menjumpai sebarang barang salah.

“Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun seorang daripadanya positif dadah jenis THC," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Ahmad Sukarno berkata semua suspek direman lima hari sehingga hari ini dan polis telah mengemukan permohonan untuk menyambung reman.

Keseluruhan nilai rampasan ialah RM85,980.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan