SUKAN

SUKMA 2024: CUACA TIDAK MENENTU CABARAN SIAPKAN KEMUDAHAN SUKAN 

05/07/2024 03:16 PM

KUCHING, 5 Julai (Bernama) -- Faktor cuaca tidak menentu menjadi antara cabaran buat pihak kontraktor untuk menyiapkan kemudahan-kemudahan sukan menjelang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata cuaca hujan dan panas menjadi kekhuatiran pihaknya terutama melibatkan kemudahan di kawasan terbuka.

“Pada hari ini kita sudah melawat beberapa venue seperti boling padang, hoki, ping pong serta bola keranjang dan kami dapati memang ada yang perlu penambahan lagi.

“Yang saya khuatir adalah pembinaan di kawasan luar kerana faktor cuaca tidak memihak kepada kita. Tadi hujan di venue memanah maka kontraktor tidak dapat kerja hari ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau status kemudahan yang terlibat SUKMA 2024 di sini, hari ini.

Gerald yang juga Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak bagaimanapun yakin kesemua kemudahan sukan berkenaan mampu disiapkan sebelum penganjuran SUKMA edisi ke-21 pada Ogos depan. 

“Setakat ini saya berpuas hati dengan persiapan kita. Jika venue sudah siap kelak kita mahu atlet-atlet kita untuk terus datang dan berlatih di venue tersebut (untuk membiasakan diri),” katanya.

Pada 14 Mei lepas, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sebanyak 24 kemudahan sukan dikenal pasti untuk dinaik taraf dan tiga kemudahan baharu sedang dalam pembinaan menjelang penganjuran SUKMA 2024.

Keseluruhan kerja-kerja naik taraf dan pembinaan yang menelan belanja sekitar RM200 juta itu dijangka siap bulan ini.

SUKMA 2024 dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos melibatkan sembilan bahagian di Sarawak  iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan