AM

HARI PENEROKA FELDA 2024 DISAMBUT TIGA HARI MULAI 12 JULAI - FAHMI

05/07/2024 07:45 PM

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2024 akan berlangsung selama tiga hari bermula 12 Julai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan bukan sehari seperti kelazimannya.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata acara tiga hari tersebut akan menampilkan pelbagai pengisian termasuk usaha sama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk mengadakan pameran mini usahawan desa serta kecil.

“Ini julung kali sambutan Hari Peneroka Felda diadakan bukan sehari tetapi tiga hari dan akan mengumpulkan para peneroka serta bekas pegawai Felda dari seluruh negara untuk pelbagai acara,” kata beliau pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan program itu pada 14 Julai dan antara aktivitinya ialah Himpunan Dua Roda/Serlahkan Kehebatan X Felda yang dijangka mengumpul 50,000 peminat sukan bermotosikal dari seluruh negara sekali gus mencatatkan Malaysia Book Of Records.

Hari Peneroka jatuh pada 7 Julai setiap tahun dan ia ditetapkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang juga pengasas Felda.

Tarikh keramat itu adalah hari penghormatan buat peneroka Felda yang telah menyumbang kepada pembangunan negara hampir 70 tahun lamanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan