AM

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH, FBM KLCI KEKAL LEPASI PARAS 1,600

05/07/2024 06:45 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia menamatkan kenaikan selama dua hari apabila ditutup rendah pada Jumaat meskipun kekal melepasi paras 1,600 berikutan pelabur mengambil keuntungan dalam keadaan prestasi negatif bursa serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 5.73 mata kepada 1,611.02 berbanding 1,616.75 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka hampir satu mata lebih rendah kepada 1,615.76, bergerak antara 1,608.41 dan 1,616.26 sepanjang sesi dagangan.

 Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 670 berbanding 447, dengan 490 kaunter tidak berubah, 796 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung dagangan. 

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.34 bilion unit bernilai RM2.95 bilion daripada 4.93 bilion unit semalam yang bernilai RM3.79 bilion.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata tekanan jualan yang berlaku hari ini, menjelang cuti hujung minggu yang panjang dan pengumuman data pekerjaan malam ini, dilihat sebagai penurunan sementara.

Sehubungan itu, beliau yakin pasaran kekal positif, seperti yang dibuktikan oleh premium besar daripada penyenaraian baharu di Pasaran ACE awal minggu ini.

"Ini menandakan keyakinan pelabur yang kukuh, dan kami menjangkakan peningkatan mudah tunai terutama dalam segmen permodalan kecil," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama berakhir negatif disebabkan dagangan berhati-hati menjelang pengumuman data Pekerjaan Amerika Syarikat.

Selain itu, katanya, pasaran pada masa ini menjangkakan peluang munasabah melibatkan dua pengurangan kadar tahun ini.

“Di dalam negara, kami menjangka situasi pasaran kekal stabil memandangkan pendapatan korporat yang kukuh, pertumbuhan ekonomi tempatan yang baik dan aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM10.04, Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM14.22, CIMB rendah lima sen kepada RM6.95 manakala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing rendah satu sen kepada RM4.04 dan RM6.32.

Antara kaunter paling aktif, Nova menambah 3.5 sen kepada 26.5 sen, SNS Network menokok 2.5 sen kepada 91 sen dan Hubline naik satu sen kepada 7.0 sen. Velesto susut satu sen kepada 27 sen manakala MYEG tidak berubah pada RM1.03.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 31.68 mata kepada 12,444.99, Indeks FBMT 100 susut 31.75 mata kepada 12,012.88, Indeks FBM Emas Syariah rendah 21.96 mata kepada 12,806.88, Indeks FBM 70 merosot 8.43 mata kepada 18,385.49 manakala Indeks ACE FBM mengukuh 6.48 mata kepada 5,966.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 57.19 mata kepada 17,603.44, Indeks Tenaga turun 2.81 mata kepada 986.75 dan Indeks Perladangan rendah 8.27 mata kepada 7,005.64.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.73 mata kepada 199.92.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.24 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 2.82 bilion unit bernilai RM3.16 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 987.05 juta unit bernilai RM141.13 juta berbanding 864.53 juta unit bernilai RM131.23 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE rendah kepada 1.10 bilion saham bernilai RM389.59 juta berbanding 1.25 bilion saham bernilai RM493.72 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 456.67 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (422.52 juta); pembinaan (200.75 juta); teknologi (325.94 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (71.02 juta); hartanah (235.43 juta); perladangan (22.59 juta); REIT (10.61 juta); dana tertutup (27,800); tenaga (155.98 juta); penjagaan kesihatan (93.92 juta); telekomunikasi dan media (52.71 juta); pengangkutan dan logistik (122.40 juta); utiliti (71.58 juta); dan amanah perniagaan (361,900).

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan