POLITIK

PRK SG BAKAP: JOOHARI MAHU JADI PEMUDAH CARA ANTARA RAKYAT DAN KERAJAAN JIKA DIBERI MANDAT

05/07/2024 07:32 PM

NIBONG TEBAL, 5 Julai (Bernama) -- Menjadi pemudah cara antara rakyat dan agensi kerajaan termasuk menyelesaikan masalah yang memerlukan perhatian segera akan menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin andai diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap esok. 

Joohari berkata beliau akan menggunakan empat fungsi utama dalam prinsip pengurusan iaitu POLC - planning (merancang), organising (mengurus), leading (memimpin) dan controlling (mengawal) serta tidak akan tunggu lama untuk bertindak.

“Pertama, saya akan wujudkan pasukan dahulu, lepas itu saya akan senaraikan semua rintihan masyarakat, dan kita akan susun ikut keutamaan untuk ambil tindakan segera dalam 100 hari pertama.

“Isu pertama yang kita akan tumpukan adalah isu air, kedua berkaitan dengan kesesakan jalan raya dan juga masalah penempatan. Itu ada terkandung dalam aspirasi P.A.D.U saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu menggariskan empat teras utama dalam iltizam atau manifesto bagi PRK berkenaan yang diambil daripada perkataan per-P.A.D.U-an iaitu P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai; dan U - Untuk Semua.

Beliau turut memaklumkan kempen hari terakhirnya hari ini memfokuskan kepada bersua muka sebanyak mungkin pengundi seluruh kawasan Sungai Bakap sebelum tempoh kempen tamat 11.59 malam ini. 

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan