AM

KEJAYAAN BERGANDA! PENARI SMK BINGKOR RAIH DUA EMAS DI PERTANDINGAN AKHIR DWC

05/07/2024 07:39 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Penari dari Sabah sekali lagi menyerlah di pentas berprestij! Penari berbakat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor, Keningau, Sabah, bersinar di pentas dunia selepas meraih dua pingat emas di Pertandingan Akhir Piala Dunia Tarian (DWC) di Prague, Republik Czech, pada Khamis.

Pusat Kongres Prague bergema dengan sorakan gembira apabila "Negaraku" berkumandang dua kali di acara berprestij yang digelar sebagai 'Olimpik Tarian'. Budaya rakyat junior solo 

Mohamad Haykal meraih pingat emas dalam kategori Solo Junior (Lelaki)  Budaya Rakyat & Nasional. Tarian tradisional etnik Murut Tahol dari Tenom, Sabah, memukau para juri di Pertandingan Akhir Dunia DWC dengan markah 97.5. Jerman meraih perak dengan 92.4 dan Taiwan memperoleh gangsa dengan 91.8.

Firencley Lius, Wilfred Marcus dan Mohamad Haykal memenangi kategori Duet/Trio Junior Budaya Rakyat & Nasional, meraih satu lagi pingat emas, mengatasi pesaing dari India dan Sepanyol. Tarian tradisional etnik Dusun Rumanau, atau Lobou, dari Sook, Keningau memikat para juri. Tarian itu  hasil koreografi Brandon Balasius @ Boichore.

Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Suzilah Mohd Sidek serta kakitangan kedutaan turut hadir memberi sokongan kepada penari di Pusat Kongres Prague pada Khamis.

Ketua rombongan SMK Bingkor, Caroline Jreneus berkata para pelajar membuat penampilan pertama di pertandingan akhir dunia dengan membawa pulang dua pingat emas.

“Dengan tempoh persiapan intensif selama tiga bulan, para pelajar berazam untuk mempersembahkan yang terbaik di 'Olimpik Tarian' tahun ini. Kami sangat gembira dan berterima kasih atas pencapaian ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.

Caroline juga menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua individu dan pihak yang bekerjasama membiayai para penari untuk bertanding di Republik Czech tahun ini.

“Rancangan awal kami adalah untuk menampilkan bakat enam penari dalam tiga kategori di Pertandingan Akhir Dunia DWC. Bagaimanapun, kekangan dana memaksa kami mengurangkan kepada tiga penari yang bersaing dalam dua kategori tahun ini. Ini bermakna beberapa penari yang layak terpaksa melepaskan peluang untuk bersinar di pentas dunia.

Kami berharap dapat membawa mereka kembali bertanding tahun depan," katanya.

Caroline berkata sekolah tersebut menganjurkan usaha pengumpulan dana termasuk jogathon dan derma awam untuk menampung semua perbelanjaan pelajar dan guru bagi bertanding di Pertandingan Akhir Dunia DWC tahun ini.

Sementara itu, Suzilah mengucapkan tahniah kepada para penari dan guru dari SMK Bingkor atas kejayaan mereka dalam kategori masing-masing.

"Tahniah kepada SMK Bingkor atas pingat emas mereka! Ia sangat menggembirakan melihat anak-anak berbakat kita mempamerkan kemahiran yang mendapat pujian daripada peserta lain dalam kalangan penonton. Kami sangat bangga dengan mereka kerana berjaya sampai ke sini.

Kita juga harus memuji para guru, ibu bapa, dan semua yang telah menyokong usaha mereka serta terus menyokong mereka dalam perjalanan tarian mereka," katanya kepada Bernama.

Minggu lepas, penari muda berbakat daripada tiga sekolah di Sabah - Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, SK St. Agnes, SK Sri Gaya -  memukau juri dengan persembahan mereka di Pertandingan Akhir Dunia DWC, memenangi tiga pingat emas, dua perak, dan dua gangsa.

Pertandingan Akhir Dunia DWC berlangsung dari 27 Jun hingga 6 Julai. Sebagai pertandingan tarian terbesar untuk kanak-kanak di dunia, ia menampilkan lebih daripada 9,500 penari dari lebih 54 negara yang menghadiri acara 10 hari itu.

--BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan