AM

ISU HRD CORP: SPRM TELITI MAKLUMAT, DOKUMEN DISERAHKAN KESUMA

05/07/2024 07:38 PM

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti  keseluruhan dokumen diserahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini berhubung isu membabitkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp). 

SPRM menerusi satu kenyataan hari ini mengesahkan telah menerima maklumat serta beberapa dokumen yang berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024) terhadap HRD Corp daripada Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Sehubungan itu, SPRM  meneliti keseluruhan dokumen bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.

“Selain kesalahan jenayah, SPRM juga akan meneliti isu-isu kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam LKAN 2/2024,” menurut kenyataan itu.

Dalam sidang media hari ini, Khairul Dzaimee berkata laporan dibangkitkan LKAN 2/2024 serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap HRD Corp diserahkan kepada SPRM selaras syor dikemukakan dalam LKAN supaya kementerian melaporkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong menerusi kenyataan hari ini berkata KESUMA tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Semalam, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 berkata KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

PAC turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan