POLITIK

UMNO MUKTAMAD CALON PRK DUN NENGGIRI MINGGU DEPAN - AHMAD ZAHID

05/07/2024 09:02 PM

JELI, 5 Julai (Bernama) -- UMNO akan memuktamad senarai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri minggu depan.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO Gua Musang telah menyenarai pendek nama calon bagi PRK berkenaan.

“Saya amat menghargai surat (yang mengandungi senarai nama calon) daripada Ketua UMNO Bahagian Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah) dan akan bawa perkara itu ke biro politik untuk dimuktamadkan minggu depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Jeli di sini hari ini.

Beliau berkata kekalahan UMNO di Kelantan termasuk DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Negeri yang lepas membuatkan parti itu tidak pernah mengambil ringan perkembangan politik semasa dan akan berusaha mendekati penggundi bagi memastikan kemenangan pada PRK berkenaan. 

Ahmad Zahid berkata UMNO yakin dapat merampas kembali kerusi DUN Nenggiri pada PRK yang berlangsung 17 Ogos depan dan meminta semua jentera Barisan Nasional bekerja keras.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan Kerusi Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan turun ke setiap negeri untuk merasmikan mesyuarat bahagian yang telah ditentukan oleh Ibu Pejabat UMNO dalam usaha memberi semangat kepada akar umbi.

“Kita kena bekerjasama untuk mengambil alih Parlimen dan DUN yang telah jatuh ke tangan pembangkang,” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi BN Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan