AM

PAMERAN PENDIDIKAN KOREA DI KUALA LUMPUR UNTUK TARIK MINAT PELAJAR MALAYSIA

05/07/2024 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 5  Julai  (Bernama) -- Pusat Pendidikan Korea di Malaysia menganjurkan Pameran Pendidikan Korea 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Hotel Hilton Kuala Lumpur, di sini.

Pameran dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Korea Selatan dan Institut Kebangsaan bagi Pendidikan Antarabangsa di bawah Kementerian Pendidikan negara itu disertai 55 universiti Korea bagi memberikan maklumat mengenai kemasukan ke universiti, peluang biasiswa dan prospek kerjaya. 

Dalam kenyataan hari ini kedutaan berkenaan memaklumkan pameran itu bertujuan menarik minat pelajar antarabangsa yang cemerlang, dengan menampilkan kelebihan menyambung pengajian di Korea Selatan.

“Jumlah universiti Korea yang menyertai pameran tahun ini meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelum ini sekali gus mencerminkan minat yang tinggi universiti berkenaan dalam menarik pelajar cemerlang Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, majlis perasmian pameran tersebut pada hari ini dihadiri Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae dan pegawai daripada Bahagian Perhubungan Antrabangsa Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Pada majlis itu Yeo sempat menekankan mengenai inisiatif kerajaannya bagi menarik pelajar antarabangsa termasuk memperluaskan Program Biasiswa Kerajaan bagi pelajar Malaysia dan melonggarkan syarat bagi pengeluaran visa.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan wakil daripada kira-kira 20 universiti Korea telah mengadakan lawatan ke beberapa universiti tempatan termasuk Help University dan INTEC Education College serta sekolah yang mempunyai program Bahasa Korea seperti Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor dan SMS Alam Shah, semalam.

“Mereka membincangkan langkah untuk mengukuhkan kerjasama pendidikan dengan Malaysia dan mengadakan Sesi Khidmat Maklumat bagi Penuntut Luar Negara bersama para pelajar,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA  

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan