POLITIK

UMNO TERIMA BANYAK PERMOHONAN BEKAS AHLI MAHU SERTAI SEMULA PARTI - AHMAD ZAHID

05/07/2024 09:48 PM

JELI, 5 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO menerima banyak permohonon bekas ahli yang ingin menyertai semula parti itu dan perkara tersebut akan dibawa ke Lembaga Disiplin untuk menentusahkan keahlian mereka.

“Perkara berkenaan juga akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk dimuktamad dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di sini hari ini.

Mengulas tindakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang menyertai Bersatu, Ahmad Zahid berkata mereka bebas memilih parti yang mereka sukai.

“Mana-Mana ahli UMNO yang telah dipecat bebas untuk masuk parti yang mereka sukai dan itu adalah pilihan mereka, “ katanya.

Semalam, Noh, 66, mengesahkan penyertaan beliau sebagai ahli Bersatu.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu dilapor berkata permohonan menyertai Bersatu telah dibuat secara dalam talian dua hari lepas tanpa diketahui sesiapa dan diluluskan serta-merta. 

Sebelum ini, Noh dipecat daripada UMNO kerana melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan berazam meneruskan agenda Melayu dan Islam tanpa mengetepikan kepentingan agama dan bangsa lain.

Beliau juga berkata dakwaan bahawa kerajaan bersekongkol dengan DAP adalah tidak benar malah parti komponen Kerajaan Perpaduan itu menghormati dasar berkenaan.

"Sepanjang lebih setahun setengah saya menjadi TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan duduk dalam Jemaah Menteri, DAP tidak pernah sekalipun menentang dasar Melayu dan Islam sesuai dengan Perlembagaan. 

"Kita bukan bersekongkol dengan DAP tetapi mereka parti komponen dalam Pakatan Harapan. Walaupun mereka hanya ada empat menteri, mereka tidak pertikai sebab menghormati bahawa menteri UMNO berpengalaman untuk membantu Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Ahmad Zahid berkata komitmen membela kepentingan Melayu dan Islam adalah amanah yang akan diteruskan dan telah dibuktikan sebelum ini apabila kerajaan berjaya menjaga kesaksamaaan semua bangsa di Malaysia. 

Beliau berkata kerajaan tidak pernah mengetepikan kebajikan penduduk di kawasan pedalaman termasuk Jeli dan Gua Musang.

UMNO, katanya akan memastikan semua kawasan pedalaman sentiasa mendapat perhatian untuk dimajukan dan bukannya dilakukan secara bermusim termasuk ketika pilihan raya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan