AM

WATSONS BAWA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-30 KE RUANG UDARA

05/07/2024 10:54 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Watsons Malaysia meraikan tiga dekad dalam industri runcit kesihatan dan kecantikan di Malaysia dengan melancarkan pesawat berjenama Watsons hasil kerjasama bersama AirAsia.

Watsons dalam kenyataan hari ini menyebut inisiatif itu membawa intipati kesihatan dan kecantikan ke ruang udara dengan pelancaran livery pertama Watsons, penjenamaan dan membeli-belah dalam penerbangan serta penglibatan dalam penerbangan secara keseluruhan.

Perapian pesawat berjenama Watsons itu menampilkan maskot Watsons Malaysia ‘Unik Si Kucing’ dan kad Ahli Watsons Club serta mesej dalam talian dan luar talian (O+O).

Menurut kenyataan itu penumpang boleh melihat tawaran produk semasa dalam penerbangan dan mengimbas kod QR.

Setelah mendarat, mereka boleh membeli barangan dan ia akan dihantar ke depan pintu kediaman mereka melalui penghantaran ekspres atau mengambilnya di mana-mana kedai pilihan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AS Watson Dr Malina Ngai dalam kenyataan sama melahirkan rasa teruja dengan kerjasama bersama AirAsia sebagai inisiatif istimewa ulang tahun ke-30.

“Apa yang membawa kami kepada kerjasama ini ialah kepercayaan bersama bahawa 'langit bukan had',  keghairahan kami untuk melayani pelanggan tidak mempunyai had dan apa sahaja adalah mungkin untuk kami,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Urusan Watsons Malaysia dan Pengarah Eksklusif Serantau Watsons International Caryn Loh berkata Watsons sentiasa menerajui inisiatif kolaboratif dan inovasi bagi kepuasan pelanggan sepanjang 30 tahun ini.

Beliau berkata Watsons Malaysia kini mempunyai lebih 700 kedai di seluruh negara lebih 12,000 produk di kedai dan dalam talian serta memiliki lebih 7.5 juta ahli Watsons Club.

Serentak dengan pelancaran tersebut, Watsons bekerjasama dengan AirAsia untuk mengadakan  peraduan Spend & Win dengan ahli Watsons Club yang berbelanja sekurang-kurangnya RM100 dalam satu resit di kedai atau dalam talian berpeluang memenangi hadiah hebat seperti tiket penerbangan AirAsia, penginapan hotel AirAsia MOVE, mata AirAsia Move dan e-baucar Watsons.

Ahli Watsons Club boleh menghantar penyertaan peraduan di mana-mana kedai Watsons di seluruh negara dan dalam talian di https://www.watsons.com.my/member-monthlyspecial hingga 31 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan