AM

MESYUARAT ASWGFI, ACFC DAN ASA 2024 BINCANG USAHA PENGURUSAN SUMBER, INDUSTRI PERIKANAN

05/07/2024 10:55 PM

GEORGE TOWN, 5 Julai (Bernama) -- Negara anggota ASEAN telah membincangkan usaha-usaha dalam pengurusan sumber dan industri perikanan pada mesyuarat ke-14 ASEAN Shrimp Alliance (ASA), ke-16 ASEAN Fisheries Consultative Forum (AFCF) dan ke-32 ASEAN Sectoral Working Group on Fisheries (ASWGFi) yang berlangsung sejak 1 Julai hingga hari ini di Pulau Pinang.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu turut membincangkan isu perikanan tradisional dan berskala kecil, pembangunan industri akuakultur serta langkah menangani aktiviti perikanan tidak sah atau tidak dilaporkan yang tidak dikawal selia.

"Dalam mesyuarat ini juga turut dibincangkan langkah-langkah menangani cabaran perubahan iklim serta inisiatif baharu di bawah ASEAN iaitu Strategi Keneutralan Karbon, berkaitan perkembangan program dan projek di bawah jaringan kerjasama.

"Mesyuarat kali ini juga memberi tumpuan membincangkan impak penguatkuasaan Akta Perlindungan Mamalia Marin AS (MMPA) kepada negara ASEAN serta keperluan oleh negara anggota ASEAN untuk mematuhi akta ini terutama penggunaan kapasiti teknikal," katanya.

Menurut DOF, Sekretariat Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) dan Sekretariat ASEAN mengambil peluang untuk memaklumkan ahli-ahli mesyuarat mengenai usaha di peringkat serantau bagi meningkatkan kapasiti Negara Anggota ASEAN dalam pengurusan perikanan, pembangunan akuakultur dan inisiatif lain yang berkaitan.

Kenyataan itu menyebut mesyuarat berkenaan juga memberi peluang kepada negara Anggota ASEAN untuk memaklumkan keperluan bagi meningkatkan lagi keupayaan masing-masing kepada Sekretariat ASEAN dan Sekretariat SEAFDEC.

ASWGFi, yang diwujudkan di bawah Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) pada 1992, berfungsi membincangkan isu semasa perikanan, status kemajuan projek kerjasama yang dilaksanakan oleh negara anggota dan mengukuhkan kerjasama dengan rakan dialog berteraskan Pelan Strategik Tindakan Kerjasama ASEAN Mengenai Perikanan 2021-2025.

ASA pula menyediakan platform untuk sektor kerajaan dan swasta membincangkan isu yang mempengaruhi pengeluaran serta perdagangan udang seperti penyakit, amalan baik akuakultur dan akses pasaran manakala AFCF adalah platform bagi membincangkan isu pengurusan serta pembangunan sumber perikanan di antara negara anggota ASEAN.

Ketiga-tiga mesyuarat membabitkan 70 peserta dan delegasi agensi serta jabatan negara anggota ASEAN yang bertanggungjawab terhadap pengurusan perikanan dan akuakultur yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun ini.

Ia turut dihadiri rakan dialog antarabangsa ASEAN iaitu SEAFDEC, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), Pertubuhan Pembangunan Industri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) dan sebagainya sebagai rakan dialog serta urus setia daripada Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan