AM

HALA TUJU MALAYSIA DALAM BRICS ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

09/07/2024 09:37 AM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Isu berkaitan dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat untuk menyertai BRICS dan bagaimana penyertaannya membantu perkembangan ekonomi negara, antara yang akan dibincangkan pada sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. 

Pada sesi sama juga, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) meminta Perdana Menteri menyatakan mengenai fokus kerajaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Beliau juga ingin tahu tentang pelaksanaan reformasi institusi agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berfungsi secara adil, telus dan bebas daripada campur tangan pihak eksekutif.

Sementara itu pada sesi soal jawab, Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah untuk memperketat keselamatan balai polis susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lepas.

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pula mengajukan soalan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berhubung peruntukan yang diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran setiap negeri bagi mengatasi masalah ketiadaan saliran dan longkang yang terancang untuk mengelakkan banjir kilat akibat hujan berpanjangan.

Selain itu, Chong Chieng Jen (PH-Stampin) meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda undang-undang supaya pihak bank dipertanggungjawabkan untuk menanggung kerugian sebahagian atau kesemua mangsa jenayah penipuan yang kerap kali berlaku.

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan bacaan kali pertama sembilan rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 serta Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.

Turut dibentangkan ialah Rang Undang-Undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024.

Usai sesi itu, Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024, yang antara lain bagi meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.

Turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini adalah sesi Kamar Khas yang menyentuh perihal mengimbangi kebebasan dan sekatan bersuara melalui pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan