AM

AR RAHMAN GESA KOMPOSER MUDA KEKAL IDENTITI SENDIRI

09/07/2024 11:27 AM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Komposer legenda dari India AR Rahman menggesa komposer muda dan berbakat untuk mengekalkan identiti tersendiri dan memanfaatkan keunikan mereka dalam menyumbang secara bermakna kepada industri muzik.

Pemenang Oscar itu yang berada di ibu negara untuk sesi ekslusif bertemu peminat menjelang konsert beliau yang dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini turut mengakui kesedaran yang semakin meningkat terhadap isu kesihatan mental dan pelbagai cara untuk golongan artis menyumbang sesuatu.

“Jangan mengikut sesiapa pun. Anda boleh belajar, melihat dan mengamati semua orang, tetapi anda memiliki sesuatu yang sangat unik dalam diri anda kerana anda telah dibesarkan dengan cara yang sangat berbeza. Ibu bapa anda berbeza. Persekitaran anda berbeza. Cita rasa anda berbeza. Pemikiran anda berbeza. Kawan anda berbeza.

“Terdapat pelbagai cara untuk menonjol dan membantu. Jadi, apabila anda mengisi kekosongan itu, anda akan berjaya, ” katanya ketika sesi ekslusif bertemu peminat di Menara PGRM di sini malam tadi.

AR Rahman berkata demikian sebagai menjawab soalan peminat tentang bagaimana beliau melihat evolusi muzik dalam era digital dan nasihat yang diberikan kepada komposer muda untuk berusaha memberi impak yang bermakna dalam industri muzik pada masa ini.

“Jangan jadi biri-biri. Jadilah harimau,” katanya sambil menasihati komposer muda untuk melakukan perkara yang memberi manfaat kepada manusia.

Mengulas berkaitan pertemuan yang tidak dapat dilupakan bersama legenda pop Michael Jackson, AR Rahman berkata mereka berkongsikan perbualan yang mendalam tentang muzik dan keamanan sejagat, dengan Jackson menunjukkan rasa kagum terhadap karya beliau.

Menurut AR Rahman beliau masih terkenang saat mendiang Jackson memperkenalkannya kepada anak-anaknya dan berkongsikan emosinya pada 2009, beberapa bulan sebelum kematian Jackson.

Pada sesi bertemu peminat itu, AR Rahman yang mengadakan konsert sulung di negara ini pada 1996, dihadiahkan baju batik, melambangkan kekayaan warisan budaya Malaysia.

Segmen khas turut menyaksikan penganjur, penaja dan rakan usaha sama dijemput ke pentas untuk melepaskan konfeti, sekali gus mengharapkan kejayaan konsert terbabit. Acara turut dikejutkan dengan pemberian kad berbentuk hati daripada peminat beliau, yang menunjukkan rasa kagum dan minat mendalam  terhadap AR Rahman.

Dipersembahkan bersama oleh Thamarai Jewels dan SRM International Real Estate LLC serta dianjurkan oleh Star Planet, konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 akan menampilkan lagu-lagu hits beliau.

Tiket konsert berkenaan yang berharga antara RM98 hingga RM1,288 sudah habis dijual. Untuk maklumat lanjut, layari www.starplanet.com.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan