AM

MELAKA TERIMA RM43.5 JUTA BINA INFRASTRUKTUR PENGAIRAN DAN SALIRAN

09/07/2024 01:34 PM

MELAKA, 9 Julai (Bernama) -- Melaka menerima peruntukan berjumlah RM43.5 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan Projek Membina Infrastruktur Pengairan dan Saliran serta Kerja-kerja Lain Yang Berkaitan di Skim Pengairan Bukit Rambai, Tangga Batu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata peruntukan itu diterima dengan tambahan RM12 juta daripada kos asal yang diluluskan Kementerian Ekonomi pada Mac lepas secara geran Persekutuan melalui Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP).

“Projek ini sememangnya sangat dinantikan rakyat di negeri ini terutamanya pengusaha sawah yang berkaitan kerana ia dirancang pelaksanaannya sejak 2012, namun tertangguh dan dimulakan semula pada 2019.

“Kerajaan negeri dimaklumkan proses pengambilan balik tanah sedang berjalan dan pelaksanaan projek dijangka bermula pada 2025 dan siap pada 2027 sebelum dapat digunakan sepenuhnya pada 2028,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Dr Muhamad Akmal menjawab soalan Datuk Lim Ban Hong (BN-Kelebang) yang ingin tahu status permohonan pembinaan pam air di beberapa lokasi kawasan sawah di DUN Kelebang sementara menunggu pelaksanaan sistem pengairan secara keseluruhan.

Dr Muhamad Akmal berkata berikutan kawasan sekitar Bukit Rambai tidak mempunyai sistem pengairan dan saliran lengkap kerana terletak di luar kawasan jelapang padi, kerajaan negeri sedang dalam proses mendapatkan peruntukan berlainan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai projek infrastruktur sokongan.

“Sekiranya projek sokongan ini tidak dilaksanakan, sebahagian besar daripada kawasan skim ini akan terus berhadapan dengan krisis sumber air yang kian meruncing dari hari ke hari dan kerajaan negeri berharap agar peruntukan tersebut dapat dipertimbang untuk diluluskan.

“Sistem saliran tali air sedia ada dari rumah pam menggunakan paip jenis High-Density Polyethylene (HDPE) 300 milimeter (mm) hanya meliputi kawasan pertanian di Kampung Stulang Daeng dan Kampung Bukit Rambai menyebabkan kawasan lain seperti Kampung Pinang, Kampung Bukit Kechil dan Kampung Gedung Lalang mengalami kesukaran mendapatkan sumber air pertanaian menjadikan kawasan tersebut sebagai ‘water stressed area’,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan