AM

PARLIMEN: OKU MILIKI LESEN MEMANDU KELAS D/DA BOLEH MOHON LESEN PSV E-HAILING

10/07/2024 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Dasar semasa tidak menghalang Orang Kurang Upaya (OKU) dari kategori pendengaran termasuk pertuturan yang memiliki kad OKU dan Lesen Memandu Malaysia (LLM) Kelas D/DA untuk memohon Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini berkata mereka boleh memohon lesen berkenaan dengan pengesahan kesihatan daripada Pengamal Perubatan Berdaftar.

Beliau menjawab soalan asal Wong Chen (PH-Subang) mengenai garis panduan untuk membenarkan pemandu OKU dengan lesen A/A1 bekerja sebagai pemandu e-hailing dan rancangan kerajaan mengubah garis panduan bagi membenarkan pemandu OKU mendapatkan lesen PSV. 

Mengenai kebenaran bagi pemandu OKU dengan lesen A/A1 mendapatkan lesen PSV, Hasbi berkata dasar semasa Pelesenan Pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam tidak membenarkan mereka  memohon Lesen Vokasional bagi apa-apa kelas.

“Perkara ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 30, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mensyaratkan seorang pemohon membuat akuan dalam borang ditetapkan sama ada menghidap apa-apa penyakit atau ketakdayaan jasmani yang mungkin menyebabkan pemanduan menjadi punca bahaya kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat bertukar cemas seketika apabila Menteri Pengangkutan Anthony Loke semasa menjawab soalan asal Wong, kelihatan seperti sesak nafas dan berdehem beberapa kali, sebelum Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng meminta Hasbi mengambil alih tugas beliau. 

Bagaimanapun, Loke dilihat kembali stabil dan menyambung menjawab soalan tambahan daripada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang mahu tahu sama ada terdapat pengecualian tertentu bagi golongan OKU dalam sektor e-hailing.

Bagi isu itu, Loke menjelaskan sememangnya terdapat pengecualian diberikan namun bagi pemohon kelas A/A1 ia perlu melihat kepada kecacatan fizikal yang dialami.

“Ada yang mungkin tidak boleh di peringkat pengecualian tetapi sebagaimana dalam dasar kita, kita memang ‘pro’ kepada pemandu OKU sebab kita melihat mereka juga mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan mampu menjadi pemandu berhemah dalam perkhidmatan e-hailing.

“Selagi mereka dapat membuktikan bahawa dari segi fizikal mereka boleh memandu, kita cuba beri pengecualian. Cuma dalam borang pendaftaran mereka memerlukan pengecualian daripada Kementerian Kesihatan dalam perkara ini memang kita akan lihat dan cuba tambah baik,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan