AM

NADI BANTU, LATIH LEBIH 3,850 USAHAWAN DI SARAWAK SETAKAT INI - FAHMI

10/07/2024 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah membantu dan melatih lebih daripada 3,850 usahawan NADI di Sarawak setakat ini dari segi pemasaran, melalui platform dalam talian seperti Shopee dan platform lain, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan, hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata menerusi latihan-latihan pemasaran, usahawan-usahawan NADI ini yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) berjaya merekodkan hasil jualan lebih daripada RM2.56 juta bagi tempoh Jun 2021 hingga Disember 2023.

“Antara kisah kejayaan anak Sarawak adalah Cik Ramtiniwaiti Ramlee daripada NADI Kampung Gedong di daerah Simunjan, Parlimen Batang Sadong, yang telah berjaya menembusi pasaran global seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol, India, China, Jepun, Indonesia dan beberapa negara Asia Tenggara lain.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah menerbangkan beliau dan produk beliau iaitu tenunan songket Maskota ke Persidangan Mudah Alih Dunia di Barcelona, Sepanyol awal tahun 2024 sebagai bukti kejayaan NADI sebagai pemangkin dalam meningkatkan sosio-ekonomi anak-anak Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) yang ingin tahu penilaian terkini keberkesanan kursus keusahawanan digital yang diperkenalkan di PEDi di Sarawak dan langkah yang diambil untuk memastikan aksesibiliti dan kualiti kursus keusahawanan digital dapat ditingkatkan.

Fahmi berkata menyedari kepentingan dan peranan NADI dalam membantu meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat, MCMC mengambil langkah menambah bilangan NADI di Sarawak untuk memberi peluang dan ruang kepada komuniti lain memanfaatkan latihan yang disediakan NADI.

Beliau berkata setakat ini terdapat 133 buah NADI yang sedang beroperasi di Sarawak dan di bawah inisiatif Satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Satu NADI, sebanyak 23 NADI baharu akan diwujudkan sebelum penghujung tahun inik yang akan menjadikan keseluruhan NADI di Sarawak berjumlah 156.

Menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang ingin mengetahui sejauh mana kemajuan pelaksanaan projek PoP dan usaha kerajaan mewujudkan lebih banyak NADI, Fahmi berkata setakat ini fasa satu projek PoP hampir selesai manakala fasa dua sedang berjalan.

Manakala bagi NADI, beliau berkata setakat ini secara keseluruhan terdapat 911 yang sedang beroperasi manakala 186 dalam proses dibangunkan.

“Insya-Allah kesemua 186 NADI baharu di DUN yang sebelum ini tidak ada NADI akan selesai sebelum hujung tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan