AM

KADAR AIR TIDAK BERHASIL PERAK 30.2 PERATUS TAHUN LEPAS - EXCO

10/07/2024 05:07 PM

IPOH, 10 Julai (Bernama) -- Lembaga Air Perak (LAP) berjaya mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) pada 2023 iaitu 30.2 peratus berbanding kadar ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu 30.3 peratus melalui pelaksanaan program yang dirancang.

Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata bagi mencapai sasaran itu, LAP membelanjakan RM60 juta merangkumi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

"LAP juga akan terus komited dalam meneruskan pelbagai program sewajarnya dalam usaha untuk menurunkan NRW di negeri Perak dari semasa ke semasa," katanya pada sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) berkenaan perancangan kerajaan negeri dalam pengurusan NRW yang menunjukkan peningkatan serta sejauh mana kerajaan membantu kebajikan rakyat yang terkesan dengan kenaikan tarif air di Perak.

NRW adalah air bersih yang dikategorikan tidak sampai kepada pengguna melalui paip bekalan air disebabkan insiden paip air pecah atau bocor, meter air tidak berfungsi dengan baik atau sambungan paip air ‘haram’.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata bagi mengurangkan beban rakyat negeri ini berikutan pelarasan tarif di Perak pada 1 Mei lepas, LAP memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu untuk penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan kepada semua pengguna domestik.

"Pemberian rebat ini dapat mengurangkan caj minimum penggunaan domestik iaitu daripada RM7.50 kepada RM3.50 sahaja. Pemberian rebat ini melibatkan kos kepada LAP dianggarkan berjumlah RM35.5 juta setahun," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan