AM

JUMLAH KERUGIAN DALAM KES-KES JENAYAH KOMERSIAL DI PAHANG JAN-JUN MENINGKAT BERBANDING TAHUN LEPAS

10/07/2024 05:31 PM

KUANTAN, 10 Julai (Bernama) -- Sebanyak 1,037 kertas siasatan bagi kes-kes jenayah komersial dibuka di Pahang dalam tempoh Januari-Jun tahun ini berbanding 1,137 dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin. 

Beliau berkata walaupun jumlah kertas siasatan dilihat menurun namun dari segi kerugian, jumlahnya dilihat meningkat daripada RM22.1 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun lepas kepada RM53.9 juta tempoh sama tahun ini.

“Pada masa yang sama 808 tangkapan berjaya dilaksanakan tahun ini berbanding 760 tahun lepas. JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersil) Pahang telah meguruskan 396 kertas pertuduhan dengan daerah Rompin mencatatkan peratus pertuduhan 100 peratus,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Dan Lafaz Ikrar Bagi Bulan Julai Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai jenayah narkotik di Pahang pula Noor Hisam berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya melaksanakan 7,256 tangkapan melibatkan 6,603 kes berkaitan pelbagai kesalahan narkotik dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. 

Beliau berkata nilai rampasan berkaitan dadah merekodkan jumlah RM3.1 juta, meningkat berbanding RM1.5 juta pada tahun 2023.

Sementara itu Noor Hisam berkata berkata jumlah kemalangan jalan raya yang dilaporkan untuk enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 571 kes, iaitu 12,365 kes kemalangan tahun ini berbanding 11,794 kes tahun lepas.

“Sebanyak 119,076 saman dikeluarkan oleh JSPT (Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik  Kontinjen) Pahang atas pelbagai kesalahan lalu lintas dengan nilai kompaun berjumlah RM2.5 juta,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan