AM

KONVENSYEN PERUNDANGAN DAN KEHAKIMAN SYARIAH ISNIN INI PERJELAS PELAN PENGHARMONIAN UNDANG-UNDANG 

10/07/2024 07:01 PM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah pada Isnin ini bagi menjelaskan pelan dan perancangan proses pemurnian dan pengharmonian undang-undang Syariah-Sivil di semua peringkat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata konvensyen itu juga bermatlamat memperkukuh kefahaman dan memperkasa tindakan dalam usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman Syariah secara kolektif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Konvensyen ini akan membuka ruang dan wadah dialog terbuka, profesional dan membina ke arah memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia secara komprehensif dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penganjuran konvensyen itu melibatkan kerjasama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Bertempat di Kompleks F, Presint 1 Putrajaya, konvensyen sehari itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan 1,000 orang peserta dalam kalangan pengamal undang-undang terdiri dari hakim, peguam, ahli akademik serta wakil agensi Islam dijangka menghadiri konvensyen berkenaan.

Orang ramai yang berminat menyertai konvensyen itu boleh menghubungi Mamat Haizan Salleh (03-8870 9299) atau Shahrizan Ab Rahim (03-8870 9287) atau menerusi email: shahrizan.rahim@esyariah.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan