AM

KEMENTERIAN KOMUNIKASI AKAN LANCAR JERAYAWARA KESELAMATAN DALAM TALIAN

10/07/2024 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan melancarkan program jerayawara keselamatan dalam talian, dalam masa terdekat bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat di peringkat sekolah dan komuniti tentang kesan buruk Internet. 

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata program itu juga bertujuan menerangkan tentang bahaya penggunaan Internet yang boleh menyebabkan perbuatan buli siber, scammer atau penipuan, keselamatan siber selain cara melindungi data peribadi dan manfaat dalam talian. 

“Saya lihat kita perlu bermula di bangku sekolah supaya anak-anak tahu dan faham tentang bahaya serta keupayaan media sosial. Bagi kanak-kanak bawah umur 13 tahun kita telah melarang mereka membuka akaun media sosial, tetapi malangnya ramai anak-anak tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas program sumbangan topi keledar percuma kepada 150 murid Sekolah Kebangsaan Bangsar di sini hari ini. 

Beliau berkata program jerayawara itu juga untuk memastikan kandungan yang berada dalam Internet itu selamat dilayari terutamanya kanak-kanak dan keluarga. 

Selain itu, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform media sosial TikTok pada minggu hadapan bagi membincangkan perincian pengurusan isu buli siber. 

Fahmi berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bersama Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, wakil Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara bagi meneliti beberapa akta yang perlu dipinda dan diperketat. 

“Tujuan mesyuarat itu juga untuk mengambil tindakan segera bagi menangani masalah buli siber. Dalam masa sama, ada beberapa pandangan yang meminta (untuk menjelaskan) takrif buli siber itu,” katanya.

Mengenai isu tular yang melibatkan kematian seorang pempengaruh TikTok didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber, Fahmi berkata pihaknya menyerahkan siasatan itu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Saya tidak ada maklumat terperinci tentang siasatan dan kita serahkan (kepada PDRM),” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan seorang pempengaruh TikTok didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia di sini.

Mayat pempengaruh wanita berumur 29 itu ditemukan di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan