AM

NADI PERAK BIMBING 2,396 USAHAWAN SEHINGGA SUKU PERTAMA TAHUN INI - EXCO

11/07/2024 09:55 AM

IPOH, 10 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri ini berjaya membimbing seramai 2,396 usahawan dalam usaha memperkasakan keusahawanan dan ekonomi digital sehingga suku pertama tahun ini.

Exco Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Mohd Azlan Helmi berkata ia membabitkan penyertaan sebanyak 269,005 komuniti yang melibatkan pelbagai bentuk latihan.

“Setakat ini usahawan-usahawan e-dagang NADI di Perak secara purata mencatatkan kadar peningkatan jualan sebanyak 70 peratus berbanding sebelum memanfaatkan platfrom itu sebagai medium penjualan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.

Terdahulu, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula dengan nama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) mulai 1 Mac lepas.

Selain itu, Mohd Azlan berkata NADI berkolaborasi dengan pelbagai rakan strategik seperti Malaysian Technology Development Cooperation (MTDC), platform TikTok, universiti dan sebagainya untuk memberikan manfaat kepada komuniti di luar lingkungan NADI. 

“NADI juga sedang dalam perancangan untuk menyediakan program-program yang berorientasikan Pengkomputeran Awan (cloud) agar boleh diakses oleh pengguna tanpa perlu hadir ke NADI dan menggunakan sepenuhnya akses secara talian,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) berkenaan pendapatan usahawan di PEDi yang melaksanakan transaksi e-Dagang dan peranan PEDi dalam langkah meluaskan manfaatnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan