EKONOMI

PENGGUNA MALAYSIA UTAMAKAN PENGHANTARAN PERCUMA KETIKA BELI-BELAH DALAM TALIAN

11/07/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Pengguna di Malaysia menyenaraikan penghantaran percuma dan kakitangan berpengetahuan sebagai keperluan apabila membeli-belah dalam talian dan di kedai, menurut Laporan Runcit Asia Tenggara 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Laporan yang dikeluarkan oleh Shopify, sebuah syarikat perdagangan global yang menyediakan infrastruktur internet untuk perdagangan berkata bahawa tiga pertimbangan teratas yang mesti ada dalam kalangan pengguna Malaysia untuk membeli-belah dalam talian ialah penghantaran percuma (77 peratus), aplikasi mudah alih yang mudah untuk membeli-belah dalam talian (48 peratus) dan pulangan percuma (45 peratus).

Tiga keutamaan teratas semasa membeli-belah di kedai pula ialah kakitangan yang berpengetahuan (64 peratus),  ketersediaan stok (62 peratus) dan perkhidmatan yang diperibadikan (47 peratus).

Laporan itu yang mengkaji selidik pengguna dan peruncit, juga mengatakan bahawa 68 peratus peruncit Asia Tenggara meletakkan pergantungan yang besar pada media sosial kerana mereka merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam perdagangan di media sosial bagi tempoh 12 bulan akan datang.

“Ini bersesuaian dengan penemuan bahawa media sosial kini merupakan pemacu terbesar untuk menemukan jenama dan produk di Asia Tenggara, dengan lebih empat daripada lima pengguna atau 82 peratus menemui produk baharu melalui media sosial,” kata Shopify.

Platform perdagangan sosial menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan di rantau Asia Pasifik, dengan platform seperti TikTok diunjurkan untuk mengembangkan pangkalan pengguna mereka sebanyak 11.3 peratus pada 2024.

Sehubungan itu, sebanyak 39 peratus peruncit yang dikaji selidik untuk laporan Shopify berkata penglibatan media sosial merupakan salah satu metrik paling penting untuk menentukan pulangan pelaburan (ROI) dalam infrastruktur perdagangan, berada di belakang margin keuntungan (44 peratus).

“Memandangkan iklim ekonomi kini, pelanggan menjadi lebih bijak dan selektif dengan cara mereka membelanjakan wang mereka,” kata Ketua Eksekutif E-Dagang dan Jualan Global Secretlab Eugene Chua dalam laporan itu.

"Media sosial terus memainkan peranan penting sebagai platform penemuan dan dalam mempengaruhi keputusan pelanggan," tambahnya.

Laporan itu mengatakan bahawa cabaran unik bagi peruncit ialah apabila membabitkan orang Asia Tenggara yang suka membeli-belah kerana lebih separuh (52 peratus) orang yang dikaji selidik berkata mereka lebih suka membeli-belah dalam talian.

Memandangkan teknologi telah berupaya untuk membentuk semula landskap runcit, majoriti besar (93 peratus) peruncit percaya bahawa ketua pegawai teknologi (CTO) akan menyumbang kepada evolusi dan pertumbuhan hasil perniagaan, kata laporan itu sambil menambah bahawa CTO akan menjadi pemain kuasa baharu untuk industri peruncitan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan