AM

KPWKM AKAN MEMUDAH CARA PEMBUKAAN LEBIH BANYAK TASKA

11/07/2024 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memudah cara pembukaan lebih banyak taska berdaftar dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia memiliki ramai anak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi tujuan itu selain memastikan penyaluran subsidi yuran pengasuhan kepada mereka yang layak bagi meningkatkan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) di negara ini.

"Ekonomi menjadi salah satu faktor utama kepada penurunan (TFR) ini kerana ramai terutamanya golongan muda merancang kehidupan dan memikirkan mengenai tempat penjagaan anak-anak dan kos taska. 

"Kita cuba memainkan peranan dengan bekerjasama untuk memastikan lebih banyak taska di sesuatu tempat kerana ia boleh menyumbang kepada mereka untuk (membuat keputusan) mempunyai anak atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM6) 2024 pada Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2024 di sini hari ini.

Mengulas mengenai KPKM6 bertemakan ‘Suara Keluarga, Masa Depan Negara’ yang dilaksanakan bermula bulan ini hingga Disember depan, Nancy berharap ia dapat membantu meningkatkan semula TFR di Malaysia.

Beliau berkata kajian yang dijalankan setiap 10 tahun sejak 1974 itu bertujuan menyediakan data terkini dan siri masa berkaitan kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif serta sosioekonomi penduduk Malaysia.

Nancy berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan melawat lebih 37,550 kediaman terpilih di seluruh negara sepanjang tempoh kerja lapangan.

Beliau berkata LPPKN mensasarkan lima kategori responden iaitu wanita dan lelaki pernah berkahwin berumur 15 hingga 59 tahun, remaja belum pernah berkahwin berumur 13 hingga 24 tahun, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan penduduk bujang berumur 25 hingga 59 tahun.

Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata berdasarkan Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), TFR di Malaysia menunjukkan penurunan semakin ketara daripada 2.1 anak pada 2010 kepada 1.6 anak pada 2022.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan