EKONOMI

TAMAN PERINDUSTRIAN SIKAMAT GD GROUP SEMAI KEMAKMURAN EKONOMI

12/07/2024 11:01 AM

SEREMBAN, 12 Julai (Bernama) -- Pemaju hartanah GD Group akan membangunkan Taman Perindustrian Sikamat di kawasan pertumbuhan Lembah Wawasan Malaysia Negeri Sembilan.

Ia akan menjangkau 49.37 hektar (122 ekar) dan akan mempunyai nilai pembangunan kasar menghampiri RM320 juta.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Datuk Wong Seng Tong melalui satu kenyataan semalam berkata pembangunan perdana itu, yang direka bagi menampung pelbagai jenis industri, "bermatlamat untuk mewujudkan kerjasama antarabangsa dan pertumbuhan ekonomi melalui perkongsian strategik dengan Foshan, China."

"Visi kami adalah untuk mengukuhkan hubungan antara Majlis Bandaraya Seremban serta Foshan. Projek itu akan menjadi model bagi kerjasama global selain menyediakan akses kepada ASEAN dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memasuki pasaran China.

"Kami berusaha untuk menggalakkan kemakmuran ekonomi bersama serta pertukaran budaya melalui inisiatif ini, meletakkan asas ke arah perjanjian antara bandar Malaysia-China di masa depan," katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah pembangunan itu di sini hari ini.

“Misi kami adalah membangunkan sebuah kompleks industri yang menyokong operasi perniagaan rentas sempadan yang lancar, memanfaatkan infrastruktur yang teguh dan sokongan strategik dalam memudahkan aliran produk Asia Tenggara ke China yang mengandungi pasaran 1.4 bilion orang,” katanya melalui satu kenyataan.

Pembangunan itu akan mempunyai 20 unit kilang berkembar, 40 lot kedai komersial dua tingkat dan 38 petak tanah untuk kilang dengan infrastruktur tersedia.

Terdapat juga rancangan untuk memasukkan kediaman buruh berpusat dalam fasa dua pembangunan yang mmapu menampung sehingga 3,000 pekerja, kata Wong.

“Ia akan menjadi lokasi yang ideal kepada perniagaan tempatan serta antarabangsa dan akan mentakrifkan semula taman perindustrian dengan tumpuan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus, infrastruktur termaju serta komitmen untuk kelestarian," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Kerja Barisan Bersatu Jawatankuasa Perbandaran Foshan, Ding Xi Feng dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Exco Kerajaan Negeri, Teo Kok Seong.

Mewakili Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Teo berkata projek itu mampu menarik pelabur bagi mengukuhkan negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama.

"Pembangunan itu akan menjadi pemacu ekonomi baharu serta dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan