AM

TUN MOHAMED DZAIDDIN MENINGGAL DUNIA AKIBAT KOMPLIKASI JANTUNG - ANAK

12/07/2024 12:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Prince Court malam tadi disebabkan komplikasi jantung.

Anak bongsu Allahyarham Datuk Azlan Mohamed Dzaiddin, 50, berkata bapanya dimasukkan ke hospital sejak Selasa lepas. 

“Tun juga pernah mengalami serangan strok tiga tahun lepas. Ketika Tun menghembuskan nafas terakhir, kami saudara mara ada bersama disisinya,” katanya kepada pemberita sebelum solat jenazah dilakukan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini. 

Berkongsi keperibadian bapanya, Azlan berkata Allahyarham seorang yang tegas namun sangat terbuka dan tidak pernah memaksa anak-anak mengikut jejak langkahnya sebagai pengamal undang-undang.

“Walaupun Tun seorang yang tegas tetapi beliau sentiasa menyokong apa yang saya minati dan tidak pernah paksa kami ikut kemahuannya. Bagaimanapun kakak saya mengikut jejaknya menjadi seorang peguam,” katanya.

Mohamed Dzaiddin ialah tokoh bidang kehakiman dan perundangan yang cukup disegani dan peguam pertama sedang berkhidmat yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Azlan berkata antara kenangan tidak dapat lupakan bersama Allahyarham ketika bapanya sanggup membawa beliau ke Singapura dengan menaiki kapal terbang semata-mata untuk menonton siaran langsung pertandingan golf British Championship pada tahun 1993. 

“Tun memang suka sukan golf dan peminat Manchester United. Pada masa itu, sedang berlangsung pertanding golf terbabit tetapi di dalam negara tiada siaran langsung di siaran televisyen tempatan.

“Tun tanya saya nak tengok tak? Beliau terus beli tiket kapal terbang dan malam itu juga kami berdua pergi Singapura untuk menonton siaran langsung yang bermula  9 malam hingga 2 pagi dan balik semula ke Kuala Lumpur pada 6 pagi,” katanya sambil menambah Allahyarham ketika itu menyandang jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan di Bangunan Sultan Abdul Samad.

Jenazah Mohamed Dzaiddin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan