AM

PEMERGIAN TUN MOHAMED DZAIDDIN KEHILANGAN BESAR NEGARA, BADAN KEHAKIMAN

12/07/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Pemergian bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah merupakan satu kehilangan besar kepada negara terutama badan kehakiman dan perundangan, kata pengamal undang-undang.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, 73, berkata Allahyarham bukan sahaja dikenali dalam kalangan rakan sebagai seorang yang sangat baik dan penyabar, tetapi turut dikenang sebagai seorang yang sangat teliti terutama ketika membuat sesuatu penghakiman.

“Kalau kita baca daripada jurnal-jurnal kehakiman, penghakiman beliau masih menjadi ikutan (precedent) pada masa ini,” katanya ketika ditemui media selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini hari ini.

Mengimbau kembali perkenalan awal dengan arwah, Md Raus berkata mereka sering bertemu di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan ketika Allahyarham masih menjadi peguam dan mempunyai firma guaman di sana. 

“Saya ketika itu bertugas dalam judiciary service di Kota Bahru … selepas itu, arwah menjadi hakim dan saya appear di hadapan beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Kanan Persekutuan. Apabila saya pula menjadi hakim, beliau merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan seterusnya menjadi Ketua Hakim Negara.

“Saya banyak belajar daripada arwah dan sering berhubung dengan arwah selepas beliau bersara apabila saya menjadi Ketua Hakim Negara,” katanya yang turut menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan peribadi buat beliau.

Meminati sukan yang sama iaitu golf, Md Raus berkata mereka sering meluangkan masa bermain golf di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) dan kali terakhir berjumpa dengan arwah ialah tiga bulan lepas semasa arwah sakit.

“Ketika saya pergi melawat di rumahnya, saya pegang tangannya dan cakap kepadanya ‘Raus ni’. Saya nampak beliau mengalirkan air mata kerana beliau kenal saya walaupun tidak dapat bercakap,” katanya.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, 55, yang juga anak saudara kepada Allahyarham berkata Mohamed Dzaiddin merupakan seorang yang tegas, berdisiplin tinggi dan sangat menepati masa.

"Semasa saya kecil, Allahyarham sudah menjadi hakim. Ketika itu saya langsung tidak terfikir akan menjadi hakim kerana melihat cara Allahyarham yang tegas dan berdisiplin itu, sukar untuk diikuti," katanya.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abu Samah Nordin, 73, berkata Allahyarham seorang yang sangat bertimbang rasa dalam membuat keputusan dan mesra dengan semua hakim yang bekerja dengannya termasuk yang masih baharu dalam perkhidmatan.

"Saya pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya semasa Allahyarham menjadi hakim, ketika itulah saya tahu beliau sangat bertimbang rasa ketika membuat keputusan," katanya.

Bekas Ketua Polis Perak Datuk Seri Noordin Omar, 67, pula berkata Allahyarham patut dicontohi oleh generasi hari ini terutama jasanya kepada negara khususunya bidang kehakiman dan kepolisan yang menjadi bidang penting keselamatan negara.

”Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai pegawai polis pada awal kerjayanya dahulu dan generasi sekarang perlu mencontohi apa yang pernah dilakukan Allahyarham ketika beliau masih hidup," katanya.

Jenazah Mohamed Dzaiddin Abdullah selamat dikebumikan pada 11.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Adnan Muhamad dan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Prince Court, di sini pada 6.30 petang semalam disebabkan komplikasi jantung selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pukul 4.30 pagi hari yang sama.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan