AM

73 PELAJAR SPM DARI KOTA DAMANSARA TERIMA INSENTIF PELAJAR CEMERLANG - RAMANAN

13/07/2024 03:25 PM

SHAH ALAM, 13 Julai (Bernama) -- Seramai 73 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekitar kawasan Kota Damansara hari ini menerima Insentif Pelajar Cemerlang SPM 2023 dengan peruntukan lebih RM70,000.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan berkata penerima yang hadir merupakan sebahagian daripada keseluruhan 159 pelajar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

"Inisiatif ini adalah kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR) melibatkan peruntukan berjumlah RM72,350 bagi menghargai prestasi cemerlang pelajar yang baharu sahaja mendapat keputusan peperiksaan SPM.

"Daripada 73 penerima, 25 berjaya mendapat 7A yang masing-masing menerima insentif bernilai RM400, 25 mendapat 8A (RM450), 19 mendapat 9A (RM500), manakala tiga pelajar mendapat keputusan cemerlang 10A menerima RM600 dan seorang dengan 11A yang menerima RM700," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian insentif berkenaan di sini hari ini.

 Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata pemberian insentif  itu bagi memberi motivasi kepada pelajar untuk lebih berjaya dan beliau turut menzahirkan penghargaan kepada YBR atas sokongan meningkatkan tahap pendidikan pelajar di kawasannya.

Sementara itu ketika diminta mengulas bantuan kepada usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19, beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa menyediakan bantuan yang berbeza mengikut keperluan.

"Kita ada pelbagai program yang boleh membawa mereka (usahawan) naik balik.

"Selain daripada pembiayaan, kita juga bagi dari segi latihan, kita bantu mereka bangkit semula secara sendiri daripada kesukaran yang dialami semasa tempoh pandemik," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan