AM

PAMERAN SUNDANG: SENI DAN KUASA DI MUZIUM PERAK PAPAR KEHEBATAN SENJATA WARISAN MELAYU

13/07/2024 05:29 PM

TAIPING, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Perak di sini menganjurkan Pameran Sundang: Seni dan Kuasa selama kira-kira enam bulan bermula 24 Jun sehingga 31 Dis depan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud berkata pameran dengan kerjasama Yayasan Al-Amin mempamerkan persenjataan Sundang yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu dan Sulewesi bertujuan memartabatkan seni budaya dan warisan sejarah di negara ini.

Sundang merupakan identiti bangsa Melayu Nusantara yang digunakan sebagai senjata para pahlawan untuk menentang musuh atau berperang serta diguna pakai untuk kegunaan pelbagai lapisan masyarakat sama ada di istana sebagai alat kebesaran diraja, pahlawan atau orang biasa. 

“Pameran Sundang yang julung kali diadakan di negara ini menggalakkan orang ramai serta peminat senjata tradisional untuk berkunjung ke Muzium Perak dan saya percaya ramai, terutama generasi muda tidak tahu mengenai Sundang yang merupakan senjata tradisional masyarakat Melayu dalam mencerminkan kearifan masyarakat tempatan.

"Keunikan sundang ini bukan pada cirinya sahaja tetapi pada komposisi bilah yang dihasilkan dari pelbagai jenis besi," katanya pada ucapan perasmian Pameran Sundang: Seni dan Kuasa di sini hari ini.

Mohamad Sobri berkata Kementerian Perpaduan Negara sentiasa menyokong dan menggalakkan Jabatan Muzium Malaysia melaksanakan program dan aktiviti yang menyatupadukan masyarakat melalui penghayatan sejarah, seni dan budaya. 

Beliau berkata Jabatan Muzium Malaysia boleh menyumbang kepada pembangunan sosial yang berterusan, khususnya dalam mengangkat dan memartabatkan seni budaya dan warisan sejarah sesuatu bangsa di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia  Datuk Kamarul Baharin A. Kassim dalam ucapannya berkata statistik kunjungan pelawat sejak pameran Sundang diadakan telah mencatat hampir 10,000 orang setakat ini.

Pada majlis itu, pengumpul Sundang terbanyak di negara ini Muhamad Abdullah yang mengumpul sebanyak 211 bilah Sundang menerima sijil pengiktirafan daripada wakil Malaysia Book of Records, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi.

Muhammad ketika ditemui pemberita berkata antara koleksi Sundang yang dikumpulnya sejak empat tahun lalu ialah lima bilah Sundang kepunyaan pahlawan Melayu antaranya Tok Gajah dan Mat Kilau.

"Saya juga merantau ke Indonesia antaranya Sumatera, Sulawesi, Kalimantan dan Pontianak untuk mengumpul beberapa koleksi Sundang," katanya.

Mohamad berkata koleksi Sundang yang dipamerkan di Muzium Perak dianggarkan mencapai usia bermula hujung kurun ke-15 dengan keseluruhan Sundang merupakan bahan antik warisan Melayu dan kepulauan Melayu 'Malay Archipelago' meliputi Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Tanah Melayu termasuk Selatan Filipina.

Tambah beliau, sebanyak 193 bilah Sundang koleksinya dipamerkan di galeri utama Muzium Perak, manakala 18 bilah Sundang lagi akan dipamerkan secara bergilir-gilir sepanjang pameran itu diadakan sehingga 31 Dis depan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan