AM

HPF 2024 PLATFORM KELUARGA BESAR FELDA ERATKAN UKHUWAH - FAHMI

14/07/2024 12:38 AM

SERDANG, 13 Julai (Bernama) -- Penganjuran Hari Peneroka Felda 2024 (HPF 2024) yang berlangsung selama tiga hari hingga esok dilihat mampu menjadi platform untuk keluarga besar Felda mengeratkan ukhuwah sesama mereka.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata acara besar seperti itu juga memberi peluang terutama kepada warga Felda untuk memanfaatkan apa yang ditawarkan sepanjang penganjuran HPF 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini

"Saya harap HPF 2024 dapat memberi satu pemahaman tentang ukhuwah serta silaturahim di antara semua skim dan rancangan Felda, jadi mereka dapat saling mengenali dan acara seperti ini saya harap dapat memberikan satu feel good vibe dalam kalangan keluarga besar Felda. 

"Contohnya tadi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ada memaklumkan sejumlah dana yang boleh mereka peroleh dan ada banyak peluang yang mungkin mereka boleh dapatkan," katanya kepada media.

Hadir sama Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Besar Felda Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Fahmi turut mengajak orang ramai hadir ke HPF 2024 esok yang juga hari terakhir penganjuran acara itu.

Beliau berkata banyak acara menarik sepanjang dua hari berlangsungnya HPF 2024 seperti pelancaran Jamboree Felda Nation, kehadiran 58,000 motosikal dan acara sukan ping pong yang menyaksikan lebih 1,200 orang mengambil bahagian.

"Kita juga boleh menikmati juadah yang disediakan di 300 reruai dari setiap skim dan rancangan Felda di seluruh negara. 

"Jadi kepada yang belum lagi datang, saya harap anda ambil peluang esok iaitu hari terakhir, jemputlah datang dan malam esok ada Konsert Ungu (kumpulan pemuzik dari Indonesia), jadi sambil buat persediaan nak tonton Final Piala Eropah boleh juga kita nikmati konsert yang disediakan secara percuma untuk semua yang hadir," katanya.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata pengalaman beliau melihat ayahnya, yang juga Pengarah Besar Felda sekitar awal tahun 2000-an, menguruskan Felda seluruh negara membuatkan tanah rancangan itu dekat di hatinya.

"Saya sendiri sebagai seorang anak Felda, sangat berbangga (dengan penganjuran HPF 2024), dan kita harap acara seperti ini akan dapat dilaksanakan pada tahun-tahun yang akan datang.

"Ke depan, kita sudah pasti mahu melihat anak Felda generasi kedua, ketiga dan seterusnya semua dapat membangunkan kawasan Felda masing-masing," katanya.

Terdahulu, Fahmi diiringi Ahmad Shabery meluangkan masa melawat ruang pameran yang memaparkan 27 Kelas Pakar kendalian pelbagai tokoh dan selebriti.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan