EKONOMI

MALAYSIA DISARAN SEDIA PUSAT SEHENTI DORONG PENERIMAGUNAAN TENAGA BOLEH BAHARU

14/07/2024 11:17 AM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

JOHOR BAHRU, 14 Julai (Bernama) -- Penyediaan pusat sehenti bagi memudahkan peralihan syarikat kepada tenaga boleh baharu (TBB) akan mempercepat peralihan Malaysia menuju pembangunan mampan dan tanggungjawab alam sekitar.

Seorang penggiat industri berkata pendekatan secara pengasingan pada masa ini, memerlukan syarikat untuk menguruskan pelbagai badan kawal selia secara bebas, menimbulkan kelewatan dan kerumitan yang tidak sepatutnya. 

Franc Molto, Pengarah Urusan Surfactor Asia Pacific Sdn Bhd iaitu pengeluar utama papan lapis dan material permukaan laminat tekanan tinggi berkata, pada masa ini, syarikat perlu menghubungi pihak berkuasa berkaitan sekiranya mereka berminat untuk memanfaatkan tenaga hijau.

Bercakap kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di loji syarikat itu di Pasir Gudang baru-baru ini, beliau berkata syarikat misalnya perlu menghubungi Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengenai aspek teknikal dan bagi menyemak sama ada grid elektrik di lokasi mereka boleh menerima penjanaan TBB.

Seterusnya, mereka perlu mengadakan libat sama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengemukakan konsep projek dan memohon Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan elaun lain bagi perbelanjaan modal.

Selepas langkah awal ini selesai, syarikat perlu memohon kepada Suruhanjaya Tenaga (EC) untuk mendapatkan lesen penjanaan elektrik.

Menurut Molto, setelah diluluskan, mereka perlu menghubungi TNB sekali lagi untuk memasang meter yang membolehkan mereka menjual lebihan elektrik yang dijana kepada grid.

“Lebih baik sekiranya kita mempunyai pusat sehenti dan pusat ini mampu menguruskan pihak berkuasa tempatan, negeri dan persekutuan,” katanya.

Baru-baru ini syarikat itu melabur sebanyak RM2.5 juta untuk memasang sistem solar fotovoltan (PV) yang boleh menjana tenaga puncak 2.0 kilowatt di loji itu.

Molto turut memuji inisiatif kemampanan kerajaan, namun menegaskan bahawa proses pelaksanaan yang rumit boleh menghalang pelabur berpotensi.

“Anda memperuntukkan banyak masa dan tenaga untuk menyempurnakan semua dokumentasi ini. Oleh itu, syarikat berkenaan perlu benar-benar berdedikasi dan bersedia melakukan sesuatu untuk planet ini (bagi meneruskan projek berkenaan),” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat TBB, Solar Galactic (M) Sdn Bhd N. Sakthivel pula berkata pemasangan solar PV di kilang bukan sahaja praktikal berikutan kawasan luas yang boleh diliputi, malah turut mendatangkan manfaat, antaranya berupaya mengurangkan bil elektrik dan menyumbang kepada karbon kredit.

“Pada masa ini, Surfactor mempunyai bank kredit karbon yang akan ditingkatkan dalam tempoh 20 tahun akan datang. Mereka boleh menggunakan atau dijual kepada pihak lain jika mahu. Ini merupakan keputusan Surfactor sepenuhnya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata pelaburan sedemikian bukan sahaja meningkatkan profil kemampanan syarikat, malah memberi impak positif kepada semangat pekerja.

"Anda mempunyai kesan yang menyeluruh terhadap faktor manusia. Pekerja akan merasakan bahawa mereka bekerja untuk sebuah syarikat yang bertanggungjawab terhadap masa depan," katanya.

Sementara itu, Molto ketika mengulas mengenai sistem solar PV berkata, sistem itu dijangka mengurangkan bil elektrik bulanan syarikat, sekurang-kurangnya 20 peratus.

"Walaupun Surfactor beroperasi pada kapasiti penuh, kami yakin bahawa sumbangan solar adalah 20 peratus (daripada jumlah tenaga elektrik yang digunakan) dan apabila kami memulakan lebih banyak langkah kecekapan tenaga, ia akan berkembang," katanya.

Beliau berkata syarikat menjangkakan pulangan pelaburan daripada sistem solar PV dalam tempoh tujuh tahun dari segi penjimatan bil elektrik, dan aspek terpenting adalah pengurangan pelepasan karbon sebanyak 10,000 tan dalam tempoh 20 tahun.

"Ia seumpama kita telah menanam sebanyak 1,000 pokok," katanya.

Surfactor Asia Pacific adalah anak syarikat Surfactor Germany GmbH, peneraju pasaran dunia selama 75 tahun bagi permukaan teknikal, dan telah beroperasi di Pasir Gudang sejak 1995.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan